Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor menyatakan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya hampir dimuktamadkan.

Menerusi laman media sosial Instagram story miliknya, Tunku Ismail memberikan kriteria yang akan dipenuhi oleh individu yang bakal dilantik.

Baca Juga:

“Ketua Pegawai Eksekutif pasukan kebangsaan Malaysia mestilah seorang yang memahami bola sepak dan mengetahui selok-belok sukan ini secara profesional supaya dapat menghubungkan aspek teknikal, komersial,dan hubungan interpersonal dalam bola sepak.

“Beliau juga perlu mempunyai rangkaian yang kukuh dalam industri bola sepak dengan hubungan erat bersama individu-individu yang berjaya dalam sukan ini bagi
merangka hala tuju Harimau Malaya.
Beliau mestilah seorang yang bukan sahaja pernah bermain di peringkat tertinggi, tetapi juga seorang usahawan yang mampu memacu kepentingan komersial Harimau Malaya.

“Selain itu, beliau juga perlu berupaya memberi nasihat kepada liga berkenaan dasar-dasar yang boleh secara langsung dan tidak langsung meningkatkan kedudukan pasukan kebangsaan kerana liga yang kuat dengan lebih banyak pasukan yang diuruskan dengan baik akan meningkatkan standard bola sepak Malaysia,” katanya.

Revolusi bola sepak Malaysia dimulakan dengan pelantikan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih skuad senior negara dan bekas ketua jurulatih Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain sebagai pengendali skuad B-23 Tahun negara.

Selain itu, pasukan perubatan dan individu berpengalaman baharu akan dilantik bagi membantu penstrukturan semula FAM untuk memastikan perjalanan operasi organisasi berjalan dengan lebih cekap serta profesional.

Pasukan perubatan akan mula menggunakan teknologi-teknologi terkini untuk membantu memastikan pemain-pemain Harimau Malaya sentiasa mendapat perkhidmatan dan rawatan perubatan yang terbaik.