Pada akhir Mac tahun lalu, kerajaan negeri Kedah telah menandatangani perjanjian usahasama membangunkan sebuah litar bertaraf antarabangsa yang dikenali sebagai ‘The Nurburgring of the East’ yang dijangka bakal siap pada suku ketiga tahun 2023 nanti.
Sebelum ini kerajaan negeri mempunyai perancangan asal untuk membangunkan ‘Litar Lumba Rakyat’ di Sungai Petani. Namun, pelan itu telah beberapa kali dipinda menyebabkannya tertangguh begitu lama dan menyebabkan kos asal meningkat.
“Berikutan itu, kerajaan negeri bersetuju meneruskan pelan perancangan akhir dengan meningkatkannya kepada Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang dilengkapi pusat komersial lain,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Memetik laporan Berita Harian, Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani bakal dibangunkan di tanah milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) di kawasan seluas 60 hektar dengan nilai RM75 juta yang bakal dibina dalam tempoh terdekat.
Litar Lumba Rakyat dinaik taraf ke litar lumba antarabangsa kerana ia perlu dibina dengan trek dan fasiliti perlumbaan yang selamat, profesional dan diselenggara baik.
“Bagi mengelakkan beban kewangan masa depan kepada kerajaan, syarikat PKB Open Road sebagai pelabur bersetuju mengambil alih projek tersebut.
“Walaupun litar ini nanti lebih bersifat komersial, namun ia juga boleh digunakan oleh rakyat yang berminat dalam sukan permotoran,” katan Menteri Besar Kedah.
https://www.youtube.com/watch?v=Wfq-Lm_3Nu4
Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Kumpulan Open Road World, Datuk David Goh, berkata projek pembinaan litar lumba terbaru itu bakal menjadi nadi baharu untuk Sungai Petani.
“Reka bentuk litar akan dilakukan pakar perunding litar lumba dari United Kingdom yang baru-baru ini telah mereka bentuk litar lumba Formula 1 di Miami, Amerika Syarikat.
“Disamping memohon kelulusan FIA Gred 2 untuk litar lumba Sungai Petani, sebagai tarikan tambahan, kami juga mengusahakan kelulusan FIM Gred B untuk litar Sungai Petani yang mana pertandingan dan kejohanan lumba motosikal antarabangsa dapat dilangsungkan,” terang beliau.
Kedah bakal mempunyai dua buah litar berlokasi di Pulau Langkawi dan Sungai Petani yang memenuhi piawaian FIA (Fédération Internationale de l’Automobile) serta FIM (Fédération Internationale de Motocyclisme), badan pentadbir untuk acara perlumbaan kereta dan motosikal antarabangsa di seluruh dunia.
* Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.
Pada tahun lalu kerajaan negeri Kedah telah menandatangani perjanjian untuk membangunkan sebuah litar bertaraf antarabangsa di Bukit Malut, Pulau Langkawi. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.
Kedah Tandatangani Perjanjian Usaha Sama Litar Bertaraf Antarabangsa Di Bukit Malut
Kilang Porsche Di Kulim Mula Beroperasi, Model Cayenne Dipasang 100% Oleh Tenaga Tempatan