Walaupun kita sedang menuju ke arah pemodenan dan pembayaran secara dalam talian atau cashless semakin menjadi pilihan, tetap ada yang lebih selesa dengan transaksi secara wang tunai atas sebab beberapa faktor tertentu.
Baru-baru ini, sebuah kedai kopi yang bertapak di Kuala Lumpur berkongsi bahawa mereka menerima ulasan negatif di Google Reviews dari seorang pelanggan yang tidak bersetuju dengan polisi yang tidak menerima wang tunai sebagai pembayaran.
Menerusi Threads, pentadbir akaun kedai kopi berkongsi tangkap layar komentar yang ditinggalkan oleh pelanggan terbabit.
“ Tiada lagi selepas ini. Perniagaan ini adalah perniagaan tanpa tunai. Tunai masih merupakan wang sah di Malaysia dan anda mesti menerimanya.
“ Saya memang tak sokong perniagaan yang tak pakai tunai. Oh, dan saya baru perasan yang anda cas bil saya salah. P.S. Kopi anda bolehlah tahan,” komen individu terbabit.
Hal ini membuatkan pihak kedai tersebut terpinga-pinga dan kebingungan dengan respon pelanggan yang boleh dikira terlalu sadis.
Mereka malah tertanya-tanya di mana silapnya dengan polisi pembayaran secara cashless yang digunakan selama ini.
Difahamkan mereka terpaksa mengadaptasi sistem pembayaran secara tanpa tunai adalah untuk keselamatan dan meminimumkan kesalahan dalam transaksi seharian.

Menjengah ke ruangan hantaran, terdapat pelbagai respon yang diterima berhubung penggunaan polisi pembayaran tanpa tunai sepenuhnya di dalam bisnes.
Sebahagian merasakan pemilik bisnes seharusnya menyediakan beberapa alternatif pembayaran yang bukan sahaja boleh memudahkan pelanggan malah memberikan pengalaman yang lebih baik.
Ramai percaya pembayaran secara tunai akan sentiasa relevan kerana ada individu yang risau akan jika kalau perkhidmatan bank secara tiba-tiba berhenti atau ketiadaan internet, maka proses pembayaran akan tertangguh dan menganggu jadual aktiviti masing-masing.
Malah, pembayaran secara tunai dilihat lebih selamat kerana dibuat secara terus dan lebih mesra dengan golongan warga emas.
Sementara yang lain pula melihat polisi berkenaan sebagai satu normal baharu yang perlu diadaptasi oleh semua lapisan masyarakat sama ada mahu atau pun tidak.