Sebilangan kedai runcit dan pasar raya di bandar kini telah menetapkan bukti kewarganegaraan sebagai keperluan untuk membeli beras putih tempatan.

Memetik NST, tindakan ini diambil untuk mengelakkan warga asing daripada membeli beras putih tempatan yang mendapat subsidi.

beras tempatan
Sumber Gambar: Utusan

Sesetengah kedai juga menetapkan had pembelian, iaitu satu beg sahaja setiap keluarga.

Sharon Pooi, 47, seorang peniaga, menyatakan bahawa kedainya hanya menjual beras putih tempatan kepada rakyat Malaysia.

”Kami memeriksa MyKad setiap pelanggan untuk memastikan beras ini tidak dibeli oleh warga asing. Di kedai saya, pembelian dihadkan kepada dua beg beras putih tempatan bagi setiap keluarga,’ jelasnya.

Ada yang tidak berpuas hati

Walaupun ada pelanggan yang mengadu tentang keperluan menunjukkan MyKad mereka, Pooi berkata langkah itu akan diteruskan bagi memastikan subsidi sampai kepada penerima yang sepatutnya.

Seorang lagi peniaga, yang ingin dikenali sebagai Yaw, 23, berkata dia mengambil pendekatan yang lebih sistematik dengan memaparkan notis yang jelas tentang had pembelian dua beg setiap keluarga.

Sedia letak notis sebagai peringatan

Beliau berkata, ‘Kami turut memaparkan notis yang memaklumkan pelanggan wajib menunjukkan MyKad mereka sebelum pembelian beras.’

Yaw menambah, tindakan ini selain memastikan beras bersubsidi dijual kepada golongan yang berhak, turut mengelakkan sebarang kekeliruan.

Seorang juruwang, Nurul Huda Ispan, 28, berkata kedainya hanya membenarkan setiap keluarga membeli satu beg beras putih tempatan.

”Ini untuk memastikan lebih ramai pelanggan mendapat manfaat daripadanya, tetapi kami tidak meletakkan sebarang notis di kedai,” katanya.

Pada Februari lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan bahawa sejumlah 24 juta pek beras putih tempatan bersubsidi akan disediakan bermula 1 Mac, dengan harga RM26 bagi setiap 10kg.

Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 400,000 ketua isi rumah miskin, termasuk 77,000 yang akan menerima subsidi beras.