Sebuah kilang di Kedah disita kerana disyaki menyorokkan beras putih tempatan (BPT) seberat 180 tan metrik dalam serbuan oleh pasukan petugas khas, semalam.

Memetik Free Malaysia Today, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Fong Hin berkata dalam serbuan itu beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) itu ditemui dalam kampit jumbo disorok dalam gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Baca Juga:

“Pasukan petugas khas bertindak menyita BPT yang berada di dalam gudang tersebut dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,000,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996, jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau digantung lesen.

Sumber Gambar: X @redzuanNewsMPB

Chan turut memberi amaran keras kepada pengilang supaya mematuhi peraturan dan tidak mengambil kesempatan ketika rakyat berdepan masalah kekurangan BPT.

“Jangan mengambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin bekalan makanan berpatutan untuk rakyat.

“Bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan yang lebih,” katanya.