Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan kedai nasi kandar didakwa mencuci lebihan makanan untuk dimasak dan dijual semula dikenakan tindakan penguatkuasaan dan diarahkan tutup 14 hari bermula semalam.

Arahan penutupan premis itu dilakukan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, serta pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, petik Berita Harian.

“Kami mengambil maklum aduan yang tular di media sosial mengenai pengendali makanan yang mencuci saki baki makanan seperti daging ayam, daging kambing dan tauhu.

“Ia didakwa daripada lebihan masakan yang tidak habis dijual untuk dimasak semula pada keesokan hari dipercayai berlaku di sebuah restoran di Seremban.

“Jabatan ini sudah menjalankan siasatan terhadap restoran berkaitan,” katanya.

Pada masa sama Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM750 kepada pemilik perniagaan antaranya kerana kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran MBS.

Dua kesalahan lagi adalah mempamerkan iklan tanpa kebenaran MBS dan tidak menjaga kebersihan serta tiada jadual pembersihan tandas.