Pemain sayap lincah, Mason Greenwood tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk kembali memenangi hati para penyokong pasukan baharunya, Olympique Marseille.

Menyertai kelab Ligue 1 itu dengan yuran perpindahan bernilai £19.8 juta, kehadiran Greenwood pada mulanya tidak begitu disenangi para penyokong ekoran pertuduhan serangan seksual terhadap bekas kekasihnya.

Baca Juga:

Rasa tidak puas hati begitu kuat dalam kalangan para peminat Marseille amat terserlah sehingga kempen dengan tanda pagar #GreenwoodNotWelcome mendapat sambutan pada bulan Julai yang jelas menonjolkan kontroversi mengenai ketibaannya.

Namun, keadaan itu langsung tidak merentap semangat juang Greenwood untuk bangkit melupakan detik hitam dalam kehidupannya dan tampil cemerlang ketika beraksi.

Ia jelas dibuktikan apabila selepas dua perlawanan dilalui Marseille, pemain berusia 21 tahun itu sudah berjaya meledakkan tiga gol dan mencipta satu bantuan jaringan.

Beliau menghasilkan dua gol ketika Marseille membelasah Stade Brestois 5-1 dan menambah satu lagi gol pada pertemuan menentang Stade Reims.

Menurut sumber laporan Goal, Susulan dengan aksi menarik dijelmakannya menyaksikan semakin ramai penyokong Olympique Marseille memakai jersi dengan set nama ‘Greenwood 10’.

Lebih menarik untuk diperkatakan, jersi nombor 10 itu sebelum ini dipakai oleh legenda kelab iaitu Dimitri Payet.

Prestasi cemerlang itu juga pastinya ada kaitan dengan jaminan daripada pengurus pasukan, Roberto De Zerbi yang secara terang-terangan akan melindungi Mason Greenwood seperti anaknya.

Beliau tidak menghiraukan segala kontroversi melibatkan pemain tersebut sebelum ini dan sebaliknya akan sentiasa mempercayai kemampuannya.