Kekayaan golongan bilionair global dilaporkan telah melonjak secara mendadak.

Menurut laporan Oxfam yang dipetik oleh portal Kosmo kelmarin, kira-kira 3,000 bilionair di seluruh dunia menyaksikan kekayaan mereka meningkat sebanyak AS$6.5 trilion (RM27.4 trilion) sepanjang dekad yang lalu.

Difahamkan peningkatan terbabit bersamaan 14.6 peratus pengeluaran global.

bilionair
Sumber Gambar: The Indian Express

Kelompok satu peratus penduduk dunia yang paling kaya telah mengumpulkan pendapatan luar biasa sebanyak AS$33.9 trilion (RM143 trilion).

Menurut pertubuhan Oxfam, jumlah kekayaan yang besar ini sudah cukup untuk membasmi kemiskinan global sebanyak 22 kali ganda.

Sebagai makluman, Oxfam adalah sebuah konfederasi global organisasi bukan kerajaan (NGO) bebas yang berjuang untuk menamatkan kemiskinan dan ketidakadilan di seluruh dunia.

Trend ini turut jelas di Britain. Angka daripada Equality Trust menunjukkan peningkatan mendadak bilangan bilionair di sana, melonjak dari hanya 15 orang pada tahun 1990 kepada 165 orang pada tahun 2024.

“Bilionair membayar kadar cukai cuma hampir 0.3 peratus daripada kekayaan mereka, jauh di bawah purata sumbangan pekerja biasa,” kata Oxfam.

“Badan amal itu menyeru Britain bekerjasama dengan negara-negara lain untuk memerangi ‘ketidaksamaan melampau’, dengan kekayaan swasta berkembang lapan kali ganda lebih cepat berbanding kekayaan bersih kerajaan antara tahun 1995 hingga 2023.

“Kerajaan perlu mengenakan cukai lebih adil bagi wang bertrilion-trilion dolar disimpan dalam akaun bank milik individu-individu paling kaya,” tambahnya.

Tahun lepas Sepanyol, Brazil, Jerman dan Afrika Selatan menandatangani usul pada sidang kemuncak negara-negara Kumpulan 20 (G20) untuk mengenakan cukai minimum dua peratus ke atas golongan kaya raya bagi mengurangkan ketidaksamaan dan mengumpul dana awam.

Setakat bulan Julai ini, carta kekayaan bilionair global memperlihatkan Elon Musk sebagai nombor satu di dunia apabila memiliki nilai bersih kekayaaan mencecah $412 billion diikuti Jeff Bezos yang mempunyai sekitar $240 billion dan juga pengasas Oracle memiliki nilai bersih kekayaaan berjumlah $292 bilion.