Kelab kereta mewah tampil membuat permohonan maaf selepas dua ahli konvoi pada ketika itu bertindak sebagai ‘marshall‘ tidak sah menyekat pengguna jalan raya lain di Bulatan Lebuh Kota Iskandar.

Menurut pengerusi kelab tersebut, acara pada ketika itu melibatkan konvoi merentas sempadan yang merangkumi lebih 30 buah kenderaan mewah dari Malaysia dan Thailand.

Kawalan lalu lintas di lokasi kejadian pada asalnya bertujuan untuk menjaga keselamatan konvoi.

Walau bagaimanapun, pihak kelab mengakui bahawa tindakan halangan jalan raya tersebut adalah tidak wajar dan memohon maaf secara terbuka atas kesusahan serta gangguan yang dialami oleh para pengguna jalan raya yang lain.

“Meskipun penyelarasan di lokasi bertujuan semata-mata untuk memastikan keselamatan jalan raya bagi konvoi yang besar tersebut, halangan jalan raya yang terhasil adalah tidak wajar. Pihak kami amat kesal atas kesulitan dan kesan negatif yang dialami oleh rakan-rakan pengguna jalan raya yang lain.

“Pihak kami bertanggungjawab sepenuhnya dan memohon maaf secara tulus ikhlas kepada orang awam. Kami bertekad untuk mempertahankan etika jalan raya yang ketat serta tanggungjawab sosial.

“Melangkah ke hadapan, pihak kami akan menyemak semula dan merapikan protokol pengurusan konvoi kami secara menyeluruh bagi memastikan pematuhan sepenuhnya dan penghormatan terhadap semua pengguna jalan raya.

“Terima kasih atas maklum balas, kefahaman, dan bimbingan yang berterusan daripada anda,” kata pengerusi kelab kereta mewah berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt Saifullah Bin Jaya @ Yahaya mengesahkan penahanan dua pemandu serta menyita kereta mewah mereka selepas tular video di media sosial.