Kelantan menoktahkan kecemerlangan dengan muncul juara Kejohanan Futsal Bawah 19 Tahun Kebangsaan 2025 selepas berjaya membenam cabaran Selangor 4-1 pada aksi final yang berlangsung di Arena FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.

Berdepan Selangor yang turut dilabel sebagai pasukan pilihan juara, anak buah Nik Muhammad Amin Nik Mohamad menyerap tekanan dengan baik sepanjang perlawanan.

Selangor terlebih dahulu mendapatkan jaringan pendahuluan seawal minit kedua apabila kesilapan pemain Kelantan di kawasan sendiri memberikan ruang buat Ammar Luqman  yang tidak dikawal dalam kawasan D untuk melakukan ‘backheel’ mudah untuk meletakkan skuad Gergasi Merah dihadapan.

Tersentak dengan jaringan awal tersebut, Kelantan memperkemaskan aksi untuk menguasai permainan dan menjelmakan serangan berbahaya.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-14 selepas Muhammad Akmal Rizal yang merampas bola dari kaki Aidil Afiqzam lalu melakukan rembatan bagi menyamakan kedudukan.

Kesilapan penjaga gol Selangor, Adam Naim pada minit ke-22 yang melakukan hantaran jauh digunakan sepenuhnya Faris Amsyar untuk melakukan pintasan dan menyudahkan peluang dengan rembatan untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Aksi selepas itu semakin menarik untuk disaksikan dengan kedua-dua pasukan berusaha keras dalam usaha menambah jaringan.

Keadaan semakin genting buat Selangor apabila terpaksa bermain dengan kekurangan pemain selepas salah seorang pemainnya dilayangkan kad merah.

Kesempatan itu diambil sepenuhnya Faris Amsyar yang meledakkan jaringan ketiga pada minit ke-38 bagi melebarkan kedudukan.

Ketika Selangor cuba untuk merapatkan defisit jaringan menerusi permainan ‘Power Play’, Akmal Rizal mengambil kesempatan kesilapan pasukan lawan untuk memastikan kejuaraan menjadi milik mereka dengan kemenangan 4-1.

Dalam pada itu, PJ Champz Mota menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Kuala Lumpur hasil kemenangan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.