Kerajaan negeri Kelantan membuka kertas siasatan terhadap penganjuran majlis makan malam sebuah syarikat perlombongan yang didakwa disajikan persembahan tarian tak senonoh di Tanah Merah, baru-baru ini.
Sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) juga disiasat selepas dewan sekolah itu dijadikan lokasi majlis berlangsung dan melanggar peraturan negeri.
Baca Juga:
- ‘Banjir Darah’ Di Kelantan? Netizen Terkejut Air Banjir Warna Merah
- Outlet Starbucks Terakhir Di Kelantan Tutup Secara Rasmi
- Bayi Berusia Setahun Mangsa Korban Banjir Ketiga Di Kelantan
Memetik Harian Metro, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) sudah diarah melakukan siasatan itu.
“Saya sendiri baru mengetahui perkara itu hari ini dan kertas siasatan sudah dibuka. Pihak penganjur dan pihak sekolah akan dipanggil untuk mendapatkan keterangan mereka.
“Difahamkan, majlis makan malam syarikat perlombongan emas itu berlangsung semalam menggunakan dewan sebuah SJKC di Tanah Merah.
“Pihak penganjur dan sekolah melanggar Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998 (Kesalahan Tiada Lesen) yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau lagi, pihak penganjur didapati tidak membuat sebarang permohonan permit untuk penganjuran acara itu.
“Kita difahamkan sebahagian besar tetamu adalah pelombong dari Tanah Besar China yang menjalankan kerja lombong sekitar Sokor, Tanah Merah dan pekerja syarikat serta tetamu luar.
“Terdapat beberapa tetamu juga terdiri daripada penduduk tempatan beragama Islam yang bekerja dengan syarikat berkenaan.
“Kita kesal dengan tindakan pihak penganjur yang menyediakan hiburan seperti itu selain menjadikan dewan sekolah untuk acara hiburan berkenaan,” jelas Hilmi Abdullah.