Malaysia membuka kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2025 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Oman 2-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Republican Central, Dushanbe Tajikistan sebentar tadi.
Gol pada setiap babak itu jelas dapat memberikan tonik berguna buat skuad kendalian Juan Torres Garrido tersebut untuk mengharungi baki tiga perlawanan dalam usaha memburu slot ke Piala Asia B-20 di China pada Februari tahun depan.
Walaupun Oman lebih mendominasi permainan dan berusaha keras untuk mencipta peluang, Malaysia lebih bijak mengambil kesempatan bagi menjerat lawan.
Ia jelas dibuktikan dimana Moses Raj bijak menguis masuk bola pada minit ke-31 selepas menerima umpanan menerusi sepakan percuma diambil Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon.
Memasuki babak kedua, Oman yang dibimbing Ahmed Mubarak Al’alawi menggandakan asakan ke kubu Malaysia untuk mendapatkan jaringan penyamaan, namun usaha mereka tidak membuahkan hasil.
Penyerang gantian, Faisal Al Hadidi mendapat peluang terbaik pada minit ke-58 tetapi rembatannya susulan kesilapan Moses dalam kawasan penalti berjaya diselamatkan penjaga gol, Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa.
Dengan beberapa serangan sia-sia dilancarkan Oman, barisan pemain Malaysia mencipta serangan balas pantas yang menyaksikan pengadil perlawanan dari India, Venkatesh Ramachandran menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad negara.
Sepakan tersebut diberikan selepas Haykal Danish dikasari Adnan Khamis Al Mushaifri dalam kawasan penalti dimana pemain tengah skuad negara itu dengan tenang menjadikan kedudukan 2-0.
Memasuki minit ke-86, Oman pula mendapat sepakan penalti susulan kekasaran Muhammad Afiq Hakimi Mahat melakukan kekasaran terhadap Faisal Al Hadidi.
Pemain gantian, Majid Al Farsi yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang tersebut bagi mengurangkan defisit jaringan.
Kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat Malaysia. Aksi kedua bakal dihadapi Malaysia ialah bertemu DPR Korea, Isnin nanti.