Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai nama 23 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih B-19 kebangsaan, Juan Torres Garrido bagi menyertai kem latihan pusat bermula Jumaat, 30 Ogos 2024.

Kem latihan pusat itu adalah sebahagian daripada persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Dushanbe, Tajikistan dari 21 hingga 29 September 2024.

Baca Juga:

Malah, pemain berdarah kacukan Itali, Danish Haady Pesenti yang berusia 19 tahun turut dipanggil memperkuatkan negara buat kali pertama bagi membuktikan kemampuannya.

Produk Akademi Sampdoria (Serie A) ini beraksi bersama JDT III dalam saingan Piala Presiden 2024. Sebelum ke JDT, beliau menyertai Vado FC dalam saingan Serie D kemudian dipinjamkan ke Arezano FC (Divisyen 6).

Selain Pesenti, pemain berpengkalan dari luar negara iaitu Muhammad Abu Khalil yang menyertai kelab Jepun, Osaka FC turut dipanggil.

Skuad Malaysia B-19 akan terbang ke Changsha, China pada Sabtu, 31 Ogos 2024 bagi menyertai kejohanan jemputan empat penjuru di sana iaitu menentang Uzbekistan B-21 pada Rabu, 4 September 2024, China B-21 pada Sabtu, 7 September 2024 dan Vietnam B-21 pada Selasa, 10 September 2024.

Bagaimanapun sepanjang berada di China, Malaysia akan dikendalikan oleh dua penolong ketua jurulatih iaitu Noor Zaidi Rohmat dan Shukor Adan memandangkan Juan Torres akan bersama skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti untuk Pestabola Merdeka 2024 dari 4 hingga 8 September ini.

Senarai pemain Malaysia B-20

Sekembalinya dari China, skuad Malaysia B-19 akan menyambung kem latihan pusat di tanah air bersama Juan Torres dari 12 hingga 16 September, sebelum mereka terbang ke Dushanbe pada 17 September 2024 bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-20 2025.

Saingan Kumpulan E kelayakan tersebut menyaksikan Malaysia akan menentang Oman pada 21 September, DPR Korea pada 23 September, Tajikistan pada 27 September dan Sri Lanka pada 29 September 2024, dengan kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Republican Central, Dushanbe.

10 pasukan selaku juara kumpulan bersama lima pasukan tempat kedua terbaik kumpulan akan layak ke pusingan akhir bersama tuan rumah, China untuk Piala Asia B-20 2025 yang akan berlangsung pada 6 hingga 23 Februari 2025.