Indonesia kembali meraih kemenangan selepas berjaya menewaskan Bahrain 1-0 pada aksi kelapan Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Indonesia naik ke tangga keempat dengan sembilan mata, hanya kekurangan satu mata dibelakang Arab Saudi.
Baca Juga:
- Instagram Justin Kluivert Diserang Warga Indonesia
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Bukan Permulaan Diharapkan Buat Kluivert, Indonesia Dibelasah Australia
- Penyokong Indonesia Lancarkan Tanda Pagar #KluivertOut
Manakala, Bahrain pula kini ditangga kelima dengan enam mata yang diraih.
Mendapat sorakan padu penyokong sendiri, Indonesia bermula dengan baik dalam usaha memburu jaringan walaupun Bahrain lebih mendominasi permainan babak pertama.
Skuad kendalian Patrick Kluivert itu mengancam kubu Bahrain pada minit ke-16 menerusi Thom Haye, tetapi percubaannya menerusi sepakan percuma yang melencong ke gawang lawan ditepis keluar penjaga gol, Ebrahim Lutfalla.
Penyokong Indonesia berpesta ketika aksi memasuki minit ke-24 selepas Ole Romeny yang tidak dikawal pertahanan Bahrain selepas menerima lorongan baik Marselino Ferdinan tidak disia-siakannya untuk meletakkan skuad Garuda di hadapan.
Romeny turut menjaringkan gol pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan Indonesia ketika tewas 1-5 ditangan Australia, minggu lalu.
Aksi pada babak kedua juga menarik untuk disaksikan dengan aksi saling berbalas serangan dijelmakan kedua-dua pasukan.
Bahrain memberikan tekanan sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung dengan kuisan Mahdi Abduljabbar dalam kawasan penalti tetapi Rizky Ridho bertindak pantas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
10 minit kemudian giliran Ali Madan melepaskan rembatan dari luar kawasan penalti yang mudah ditangkap kemas penjaga gol, Maarten Paes.
Ketika Indonesia kembali mengimbangi permainan, Marselino Ferdinan mendapat peluang terbaik apabila beliau hanya berhadapan dengan Lutfalla.
Namun, sepakannya ketika cuba untuk melakukan percubaan lambung sekadar melewati palang gol di minit ke-67.
Pemain gantian, Eliano Reijners turut mendapat peluang hampir sama berselang empat minit kemudian, bagaimanapun beliau turut hanya melakukan percubaan tersasar.
Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat Indonesia.