Indonesia meraih kemenangan 1-0 ke atas China pada aksi kesembilan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Kemenangan ketiga dilakarkan itu semakin mendekatkan skuad kendalian Patrick Kluivert tersebut dengan saingan pusingan keempat yang masih memberikan harapan untuk mara ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Kelayakan Piala Dunia
Soccer Football – World Cup – AFC Qualifiers – Group C – Indonesia v China – Gelora Bung Karno Stadium, Jakarta, Indonesia – June 5, 2025 Indonesia players pose for a team group photo before the match REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana

Aksi yang ditampilkan pada perlawanan ini tidaklah terlalu menarik untuk diperkatakan apabila tidak banyak percubaan berbahaya dapat dijelmakan kedua-dua pasukan.

Namun, jaringan sepakan penalti Ole Romeny pada masa kecederaan babak pertama memberikan kelebihan buat pasukan tuan rumah.

Sepakan penalti itu dihadiahkan buat Indonesia selepas Ricky Kambuaya dikasari Yang Zexiang dalam kawasan penalti.

Ia merupakan jaringan ketiga dihasilkan oleh Romeny dalam tiga penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan Indonesia.

Kelayakan Piala Dunia
Soccer Football – World Cup – AFC Qualifiers – Group C – Indonesia v China – Gelora Bung Karno Stadium, Jakarta, Indonesia – June 5, 2025 Indonesia’s Ole Romeny celebrates scoring their first goal with teammates REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana

Dua minit selepas aksi kedua bersambung, Wang Yudong hampir menyamakan kedudukan ketika situasi sepakan penjuru, namun rembatannya dari luar kawasan penalti diselamatkan Emil Audero.

Usaha kedua-dua pasukan bagi mengubah kedudukan pada babak kedua tidak membuahkan hasil untuk keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan.

Semakin Hampir Dengan Pusingan Keempat Kelayakan Piala Dunia 2026

Dengan kemenangan penting dilakarkan itu, Indonesia pada ketika ini berada di kedudukan ketiga dengan 12 mata.

Kedudukan itu bagaimanapun akan dirampas oleh Arab Saudi sekiranya mereka berjaya menundukkan Bahrain dalam aksi yang sedang berlangsung di Bahrain National Stadium.

Kelayakan Piala Dunia
Soccer Football – World Cup – AFC Qualifiers – Group C – Indonesia v China – Gelora Bung Karno Stadium, Jakarta, Indonesia – June 5, 2025 Indonesia fans inside the stadium before the match REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana

Tetapi dalam masa sama, Indonesia akan mengesahkan tempat selaku empat pasukan terbaik kumpulan jika Bahrain tewas pada perlawanan ini.

Pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026 bakal menyaksikan pasukan di kedudukan ketiga dan keempat bagi setiap kumpulan akan bersaing untuk merebut dua tiket ke saingan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada itu.