Pihak keluarga kepada penyanyi dikir barat yang berasal dari Kelantan – yang sedang ditahan reman di Thailand – menafikan mereka sedang menjual harta untuk menampung kos guaman bagi membela nasib artis itu.

Kos guaman dikatakan mencecah sehingga RM1.3 juta untuk kes melibatkan salah laku barang terlarang di negara jiran itu.

Keluarga kepada penyanyi tersebut kecewa dengan spekulasi oleh segelintir pihak yang menyatakan bahawa mereka sekarang sedang menjual dan melelong harta mereka untuk mendapatkan wang lebih RM1 juta bagi menampung pembayaran kos guaman.

Bercakap kepada Harian Metro, ahli keluarga penyanyi tersebut menegaskan bahawa masih beblum tiba masanya untuk mereka berbuat demikian.

Namun mereka akui terkejut apabila ada 2 peguam dari Thailand menawarkan diri untuk menjadi peguam kepada penyanyi tersebut dengan bayaran mencecah jutaan ringgit.

Dia berkata: “Saya ingin menafikan laporan berita semalam yang mengatakan keluarga kami sanggup menjual tanah dan rumah semata-mata untuk kos guaman di Thailand.

“Kami tiada rancangan lagi hendak ambil khidmat guaman sebab kami merasakan belum tiba lagi masanya.”

Beberapa minggu lalu seorang penyanyi dikir barat dari Kelantan yang popular, ditahan bersama dengan 5 lagi individu lain dalam serbuan yang dibuat oleh polis Thailand di sebuah hotel di Pekan Sungai Golok.

Penyanyi berusia 29 tahun itu antara yang ditahan reman untuk siasatan berkaitan rampasan 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.

Dan kesemua suspek kini sudah ditahan hampir 3 bulan untuk siasatan.