Pemain tengah, Dele Alli memerlukan masa hampir dua tahun untuk kembali beraksi di pentas kompetitif selepas kali terakhir menikmatinya pada 26 Februari 2023.
Ketika itu bekas pemain skuad kebangsaan England ini turun beraksi untuk Besiktas ketika bertemu Antalyaspor dimana beliau dipinjamkan dari Everton.
Baca Juga:
- Kenali Como 1907, Kelab Yang Dimiliki Duo Terkaya Indonesia
- Prestasi Makin Teruk, Conceicao Terpaksa Pantau Berat Badan Serta Corak Tidur Pemain AC Milan
- Raphael Varane Setuju Sertai Como, Beberapa Nama Besar Lain Akan Turut Serta
Selepas lama menyepi ekoran kecederaan dialaminya dan tiada pasukan, peluang telah diberikan oleh pengendali Como, Cesc Fabregas untuk Alli beraksi menentang AC Milan pada aksi ke-29 saingan Serie A 2024/25, awal pagi tadi.

Ketinggalan 1-2, Alli dimasukkan pada minit ke-81 bagi menggantikan pemain tengah, Lucas Da Cunha yang menjaringkan gol pembukaan buat Como pada perlawanan tersebut.
Namun, sumbangan yang diharapkan oleh Fabregas gagal diterjemahkan kepada perkara positif buat Como.
Bukan ‘Comeback’ Yang Baik Buat Dele Alli
Sebaliknya hanya selepas 10 minit beraksi, Alli diperintahkan keluar padang selepas beliau melakukan kekasaran dengan terjahan berbahaya ke atas Ruben Loftus-Cheek.
Beliau pada mulanya hanya diberikan kad kuning tetapi selepas rujukan Video Assistant Referee (VAR) dibuat, pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepadanya.

Satu keadaan yang pastinya mengecewakan Dele Alli dan bukanlah permulaan semula buat beliau setelah mendapat ‘peluang kedua’ untuk membuktikan kemampuan dirinya.
Fabregas juga cukup tertekan apabila skuad kendaliannya hanya mampu mencatatkan satu keputusan seri dan dua kekalahan pada tiga aksi terakhir dalam kempen liga.
Selepas 29 perlawanan, Como kini menghuni tangga ke-13 dengan 29 mata hasil tujuh kemenangan, lapan keputusan seri dan 14 kekalahan.