Kelab Itali, Como berjaya menamatkan penantian selama 21 tahun untuk kembali beraksi dalam saingan Serie A selepas mengakhiri kempen Serie B 2023/24 di tangga kedua.

Ia merupakan satu kejayaan manis dikecapi kelab yang sebelum ini menyaksikan mereka pernah terperosok hingga ke saingan Serie D ekoran masalah kewangan kronik hingga disahkan muflis pada penghujung 2004.

Baca Juga:

Selepas pelbagai kesukaran dan episod hitam dilalui, Como mendapat talian hayat yang cukup bermakna dengan minat ditunjukkan Micheal Bambang Hartono dan Robert Budi Hartono.

Anak Indonesia beri harapan baharu

Adik beradik kelahiran Semarang itu adalah duo pemilik Djarum Group yang merupakan individu terkaya di Indonesia dengan jumlah harta keseluruhan mencecah $48 bilion.

Menerusi salah satu cabang perniagaan syarikat konglomerat tersebut, iaitu SENT Entertainment Ltd, Micheal dan Robert telah mengambil alih Como yang pada ketika itu berada dalam saingan Serie D.

Menjadikan mereka sebagai warga Indonesia kedua terlibat sebagai pemilik pasukan di Itali selepas Erick Thohir yang pernah membeli Inter Milan.

Menurut sumber The Athletic, Djarum membelanjakan kira-kira €850,000 bagi tunjuan pengambilalihan kelab yang berpengkalan di Lombardy itu dan €150,000 daripadanya untuk membayar hutang ditanggung Como.

Impak pantas dinikmati kelab

Antara perkara awal dilakukan Micheal dan Robert adalah dengan melantik Michael Gandler untuk mengendalikan aspek perniagaan dan perkara-perkara lain di Como.

Gandler merupakan Pengurus Pemasaran Inter Milan ketika dibawah ‘pemerintahan’ Erick Thohir. Walaupun peranan dimainkan di Como berbeza tetapi Gandler melakukannya denan cukup baik.

Dengan keadaan stadium yang cukup daif serta sejarah kelab terpalit dengan muflis, Djarum Group dan Gandler memainkan peranan cukup baik dalam mengubah senario di sana.

Kini, Como menjadi salah satu pemilikan terkaya dalam kancah bola sepak Itali dimana Thierry Henry dan Cesc Fabregas turut merupakan pemegan saham kelab itu.

Daripada segi prestasi pasukan juga jelas kelihatan peningkatan apabil pada musim 2020/21, Como serta-merta dinaikkan ke Serie B selepas memenangi Serie C. Momentum kelab diteruskan pada musim 2021/22 dan 2022/23 di Serie B.

Kemuncak mimpi indah para penyokong mereka dirasai dua hari lalu dimana skuad kendalian pengendali sementara, Osian Roberts  itu menduduki tempat kedua sekali gus akan beraksi di Serie A pada musim hadapan.

Antara tonggak pasukan yang membawa kejayaan itu ialah Patrick Cutrone (anak jati Como dipinjamkan dari Wolves) dengan 14 gol dihasilkannya.

Sokongan di sebalik tabir yang mantap

Selain limpahan wang diberikan oleh pemilik pasukan dengan pemain berbakat dimiliki, Como juga dikendalikan dengan baik dimana Dennis Wise yang merupakan legenda Chelsea bertindak selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Osian Roberts pula berpengalaman selama dua musim sebagai pembantu kepada Patrick Veira di Crystal Palace dan dua tahun menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan Wales.

Beliau turut mempunyai hubungan erat serta mendapat sokongan padu Ahli Lembaga Pengarah, Thierry Henry.

Sebelum Roberts menyertai pasukan, Como dibimbing buat seketika oleh Cesc Fabregas pada November 2023 selepas beliau mengumumkan persaraan.

Namun berikutan ketiadaan lesen kejurulatihan UEFA, Roberts telah dibawa masuk meskipun Fabregas membimbing pasukan dengan baik.