Pengurus Como, Cesc Fabregas mengkritik secara terbuka penyerangnya, Alvaro Morata selepas pemain tersebut dilayangkan dua kad kuning dalam tempoh hanya dua minit sehingga memaksa diperintah keluar padang ketika aksi bertemu Fiorentina pada Sabtu lalu.

Keadaan itu jelas membuatkan Fabregas naik angin kerana Como tewas 1-2 di laman sendiri.

Ketinggalan 0-2, Como merapatkan jurang hasil gol sendiri Fabiano Parisi pada minit ke-77. Dalam usaha mereka mencari gol penyamaan, Morata menerima kad merah ketika aksi memasuki minit ke-89.

Sehubungan dengan keadaan tersebut, Fabregas dilihat cukup berang dengan bekas rakan sepasukannya di Chelsea itu sejurus wisel penamat ditiup.

Malah, beliau turut mempersoalkan tindakan Morata yang dilayangkan kad merah secara tidak berfikir dalam kekalahan dialami pasukannya.

Fabregas Naik Angin

“Provokasi adalah sebahagian daripada bola sepak. Mereka yang tidak mampu bertolak ansur dengan provokasi perlu menukar kerjaya”

“Dia seorang pemain berpengalaman, jadi saya mengharapkan lebih daripadanya kerana jurang antara kemenangan dan kekalahan sangat tipis.”

“Saya tidak suka alasan. Kami perlu bermain dengan cara kami sendiri. Apa sahaja yang diperkatakan pihak lain tidak sepatutnya mempengaruhi kami.”

“Saya kecewa kerana tidak berjaya membantu para pemain memahami betapa pentingnya perlawanan ini.”

“Saya telah berkongsi pengalaman saya sebagai seorang pemain bola sepak sepanjang minggu ini, mungkin terlalu banyak, tetapi ia masih tidak mencukupi. Kami adalah pasukan yang muda,” ujar Fabregas menurut sumber laporan Goal.

Sumber