Ketua jurulatih Como, Cesc Fabregas mendedahkan punca utama mengapa bekas rakan sepasukannya, Xabi Alonso berada di bawah tekanan dalam mengendalikan Real Madrid.
Hampir tujuh bulan membimbing Los Blancos, banyak berita kurang enak kedengaran buat Alonsi yang sedang bergelut untuk mengekalkan keharmonian dalam bilik persalinan Real Madrid.
Baca Juga:
- Real Madrid Terus Bergolak: Siapa Sokong Vinicius, Siapa Berdiri Teguh Di Belakang Xabi Alonso?

- 5 Bintang Real Madrid Dikhabarkan Kurang Senang Dengan Xabi Alonso

- Xabi Alonso Dalam Tekanan Untuk Pulihkan Budaya Dan Mentaliti Real Madrid

Keadaan itu bagaimanapun bukanlah satu perkara yang pelik kerana kelab tersebut dipenuhi pemain-pemain berstatus bintang.
Tekanan Xabi Alonso Di Real Madrid
Walaupun Alonso berjaya memaksimumkan potensi peledak berbisa, Kylian Mbappe, beliau bagaimanapun berulang kali terpaksa mempertahankan hubungannya dengan Vinicius Junior yang dipercayai mempunyai hubungan agak tegang dengannya.
Di sebalik bayangan prestasi cemerlang Mbappe yang telah menjaringkan 29 gol dalam hanya 24 perlawanan musim ini, Vinicius pula mendapati dirinya kerap keluar masuk senarai kesebelasan utama di bawah kendalian Alonso.
Sehubungan dengan itu, Fabregas yang bersama-sama Xabi Alonso menjulang Piala Dunia 2010 melihat , tugas menguruskan bilik persalinan yang dipenuhi ego pemain-pemain besar inilah yang menjadi punca utama rakannya itu bergelut di Real Madrid.
“Mereka semua sangat bagus (pemain-pemain Real Madrid). Mereka semua layak untuk bermain. Mereka semua merasakan mereka perlu diturunkan.”
“Mereka semua perlu menjadi penentu perlawanan. Mereka semua bernilai 50 juta euro. Mereka semua bermain untuk pasukan kebangsaan masing-masing.”
“Menguruskan semua ini, sudah tentu, adalah perkara paling sukar sekali,” ujar Fabregas menurut sumber laporan Goal.
Segalanya tampak berjalan lancar pada awalnya apabila jurulatih berusia 44 tahun itu yang menggantikan Carlo Ancelotti apabila berjaya membimbing gergasi La Liga tersebut mencatat 13 kemenangan daripada 14 perlawanan awal dalam semua kejohanan.
Sepanjang tempoh itu, Real Madrid meraih kemenangan penting ke atas pasukan seperti Villarreal dan seteru utama, Barcelona dalam saingan liga selain menewaskan Marseille dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Namun, susulan prestasi tidak menentu kebelakangan ini yang menyaksikan Real hanya menang lima daripada 11 perlawanan terakhir, spekulasi hebat mula tercetus mengenai masa depan Xabi Alonso bersama kelab itu.
Selepas mencatat tiga keputusan seri berturut-turut dalam liga menentang Rayo Vallecano, Elche dan Girona pada November, Real Madrid pantas dipintas di puncak carta liga oleh Barcelona kendalian Hansi Flick.