Xabi Alonso dikatakan berada dalam tekanan untuk menghentikan ‘tabiat buruk’ dan membina semula budaya baharu di Real Madrid di tengah-tengah kebimbangan mengenai mentaliti serta kekurangan kepimpinan dalam skuad kendaliannya.

Selepas dimalukan 2-5 dalam perlawanan derbi menentang Atletico Madrid tempoh hari, Alonso kini berdepan ujian terbesar sejak dilantik sebagai pengurus Real Madrid.

Baca Juga:

Ia adalah berkaitan membina semula suasana di bilik persalinan yang ‘retak’, mengembalikan disiplin dan mentakrif semula erti kepimpinan di Bernabeu.

Tugasan Berat Xabi Alonso

Dengan pertemuan menentang Barcelona dan Liverpool bakal tiba, era baharu Madrid kini bergantung kepada sejauh mana Alonso mampu menamatkan tabiat buruk dan menyalakan semula budaya kemenangan di kelab gergasi Sepanyol itu.

Kekalahan kepada Atletico bukan sekadar menyakitkan oleh kerana keputusan besar itu, tetapi turut mengguris identiti sebenar Los Blancos.

Menurut sumber laporan Goal, suasana bilik persalinan selepas perlawanan dikatakan berada dalam keadaan agak tegang.

Beberapa pemain senior dilaporkan menegur pemain muda mengenai tahap persiapan dan profesionalisme mereka.

Manakala Alonso pula mengadakan mesyuarat tertutup bersama barisan kejurulatihannya untuk menilai apa yang sebenarnya tidak kena bukan hanya di atas padang, tetapi juga di belakang tabir.

Pihak pengurusan tertinggi Madrid turut mula menyedari bahawa masalah yang dihadapi bukan sekadar bersifat taktikal, tetapi bersifat sistemik.

Reaksi Madrid selepas itu boleh dikatakan stabil tetapi belum meyakinkan. Beberapa kemenangan dalam La Liga dan Liga Juara-Juara sedikit sebanyak meredakan tekanan.

Namun ujian sebenar baru sahaja bermula. Dengan pertembungan menentang Barcelona dan Liverpool yang menanti, kelemahan mental pasukan berisiko untuk kembali menghantui mereka.

Bagi Xabi Alonso, yang masih berada di bulan-bulan awal pemerintahannya, siri perlawanan ini mungkin menjadi penentu kepada sejauh mana kukuhnya autoriti beliau.

Sumber