Sudah berada di tahun 2025, semua negara di dunia berlumba-lumba mahu menunjukkan kehebatan teknologi yang dibangunkan oleh anak tempatan masing-masing.

Seperti di Malaysia, kita bertuah kerana bersedia bekerja rapat dengan syarikat teknologi gergasi dalam membangunkan kecerdasan buatan dan mengambil bahagian dalam pembinaan cip pemprosesan di samping menjadi pemain utama di dalam industri berkenaan.

Tidak mahu ketinggalan, negara jiran turut mahu mempamerkan keupayaan mereka apabila sedia memperlihatkan teknologi media interaktif yang berjaya dicipta untuk kegunaan negara.

Baru-baru ini, seorang influencer dan juga dilantik rasmi sebagai kakitangan khas kepada Menteri Pertahanan untuk komunikasi sosial dan awam iaitu Deddy Corbuzier telah mengadakan lawatan ke Kementerian Pertahanan Republik Indonesia.

Di dalam gambar yang dimuat naik oleh akaun @kemgelapan menerusi laman X, kelihatan Deddy Corbuzier bersama petugas Kementerian Pertahanan yang sedang mempamerkan teknologi media interaktif di pejabat tersebut.

“Pagi memantau timeline,” tulis akaun tersebut.

Pada skrin besar di hadapan kedua-dua individu itu, terpampang visual media interaktif di Kementerian Pertahanan Republik Indonesia.

Namun begitu, kelihatan tidak jelas maklumat apa yang terdapat pada skrin media interaktif itu.

Kalau ikut pada terma yang digunakan, teknologi ini sepatutnya boleh mempamerkan sejumlah maklumat berkaitan negara Indonesia dan juga sebarang perkembangan semasa yang boleh diterokai secara interaktif buat pekerja di pejabat itu. Malah, dari kapsyen sahaja telah memberi gambaran seolah-olah mereka boleh memantau sebarang kandungan ‘panas’ yang terdapat pada timeline media sosial.

Perkongsian gambar tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna internet Indonesia sendiri.

Ramai mendakwa paparan media interaktif yang terdapat pada skrin besar itu hanyalah ‘template’ biasa yang boleh didapatkan secara berbayar di internet.

Perkara ini dibuktikan sendiri oleh netizen apabila berjaya menemui visual animasi yang sama menerusi platform iStock dan pihak Kementerian Pertahanan Indonesia dipercayai hanya menambah logo bendera Indonesia serta beberapa grafik seakan mereka yang membangunkan aplikasi tersebut.

Satu lagi kelemahan yang dijumpai oleh netizen adalah kehadiran teks “Lorem Ipsum” pada bahagian kanan skrin. Walaupun kelihatan seakan teks panjang lebar yang mengandungi perkara penting di mata kasar, realitinya ia hanya terisi dengan ayat rawak yang dijana oleh enjin Lorem Ipsum yang biasa digunakan dalam industri percetakan, rekaan grafik dan pembangunan web.

@dablengs

Sangat wadidaw.

♬ suara asli – dablengs – dablengs

Susulan itu, ada sebahagian netizen berseloroh mengatakan taktik ini sudah lapuk digunakan dan tidak boleh dipakai lagi untuk memperbodohkan orang ramai.