Siapa sangka, selepas hampir dua dekad, kumpulan pop sensasi dunia The Pussycat Dolls masih belum melupakan detik “bersejarah” mereka di bumi Malaysia.

Bukan kerana sorakan peminat semata-mata, tetapi kerana pengajaran berkaitan sensitiviti budaya yang mengakibatkan mereka disekat daripada melakukan persembahan.

“Kami Terkejut Jadi Berita Besar”

Mengimbau kembali memori tahun 2006, salah seorang anggotanya, Kimberly Wyatt, mendedahkan bahawa mereka pada mulanya tidak menyangka penampilan di pentas Sunway Lagoon ketika itu akan mencetuskan polemik nasional.

Menerusi temu bual bersama vt, Kimberly menjelaskan situasi di mana mereka hanya menyedari impak persembahan tersebut sebaik sahaja tiba di lapangan terbang keesokan harinya.

“Pakaian kami sebenarnya hanya terdedah pada bahagian bahu dan perut sahaja, tetapi masyarakat Malaysia tidak dapat menerimanya. Kami terkejut apabila melihat berita bahawa Pussycat Dolls telah disekat di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, mereka seperti berbangga dan menganggap ia sebagai satu pencapaian kerana dilihat menjadi sensasi di Malaysia gara-gara isu tersebut.

“Kami rasa sangat bangga, rasa macam rockstar,” ujar beberapa ahli The Pussycat Dolls.

Transformasi Drastik: ‘Turtleneck’ Dalam Cuaca Tropika

'Kena Sekat Sebab Seksi, Tapi Rasa Macam Rockstar' – The Pussycat Dolls Imbau Kontroversi Panas Di Malaysia
Sumber Gambar: FB

Susulan kontroversi tersebut, kumpulan yang diketuai oleh Nicole Scherzinger ini tidak terus “merajuk”.

Sebaliknya, mereka kembali semula ke Malaysia untuk acara MTV Asia Awards dengan pendekatan yang jauh berbeza malah mungkin terlalu drastik bagi sebuah kumpulan pop global.

Demi menghormati garis panduan tempatan dan mengelakkan pisang berbuah dua kali, mereka memilih busana yang sangat tertutup.

Namun, cabaran baru pula muncul iaitu cuaca Malaysia yang membara.

“Kami kembali dengan memakai pakaian bertutup seperti turtleneck. Panasnya sangat terasa!” ujar Kimberly sambil berseloroh mengenakan pakaian tebal di bawah pancaran matahari tropika.

Sebagai makluman, persembahan The Pussycat Dolls pada tahun 2006 itu bukan sahaja menjadi bualan hangat netizen (pada zaman itu), malah turut mengheret penganjur ke ruang undang-undang.

Pihak berkuasa tempatan pada waktu itu menganggap persembahan tersebut melanggar kod etika berpakaian dan persembahan.

Akibatnya, penganjur didenda RM10,000 kerana kegagalan mematuhi syarat permit. Isu ini menjadi rujukan penting bagi penganjuran konsert antarabangsa di Malaysia sehingga ke hari ini.

Meskipun sudah bertahun lamanya, kisah ini kekal sebagai antara arkib paling ikonik dalam sejarah hiburan tanah air mengingatkan artis antarabangsa bahawa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.”

Sumber