Peminat setia bola sepak pastinya mengetahui tentang kewujudan permainan simulasi yang menjadi kegilaan ramai iaitu Football Manager.

Permainan yang menjadikan anda sebagai seorang pengurus bagi  sesebuah pasukan bola sepak itu boleh membuatkan anda berada dalam ‘ketagihan’ sekiranya tidak dikawal.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Football Manager pada mulanya dikenali sebagai Championship Manager sejak tahun 1992, namun berikutan retaknya hubungan Sport Interactive dan penerbit asal, Eidos Interactive telah menyaksikan kedua-dua jenama tersebut mengambil haluan berbeza.

Susulan dengan persengketaan itu, Sport Interactive telah kehilangan hak menggunakan nama tersebut sekali gus wujudnya Football Manager pada 2005 susulan kerjasama dengan penerbit dari Jepun, SEGA.

Dalam misi untuk membawa kejayaan buat pasukan anda, dapat dilihat pelbagai jenis atau kaedah yang digunakan oleh seseorang pengurus untuk menjayakan matlamat mereka.

Kredit Foto: Football Manager

Antara jenis pengurus yang boleh dikaitkan dengann permainan ini ialah:

1) ‘Save game’ dan ‘Load game’ semula jika gagal memenangi perlawanan

Ini merupakan perkara yang paling popular digunakan oleh para pemain untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga.

Selain itu, ia turut menjadi kebiasaannya dalam mengharungi perlawanan akhir bagi mengelakkan kelab mereka terlepas peluang menjulang piala.

Ada juga yang menggunakan taktik begini untuk perlawanan besar ketika menentang pasukan yang hebat. Perkara tersebut akan diulangi sehinggalah mereka berjaya mencapai kemenangan.

Lebih ‘hebat’ sekiranya seorang pengurus melakukan perkara sebegini daripada perlawanan pertama hingga akhir setiap kali gagal meraih kemenangan.

2) Bangunkan bakat muda hingga berjaya

Ada jenis pengurus yang gemar mengendalikan sebuah pasukan dengan menggalas tanggungjawab kepada pemain muda.

Cara ini memerlukan kesabaran kerana ia mengambil masa yang sedikit lama kerana anda perlu mengawasi perkembangan para pemain.

Untuk melihat pemain muda ini menjadi salah pemain yang hebat, pertamanya seperti kebiasaan anda perlu memberikan lebih minit permainan buat mereka.

3) Uruskan kelab bawahan dan menjadikan pasukan anda hebat

Pengurus jenis ini begitu menggemari untuk membawa naik kelab bawahan dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti kelab tersebut hingga menjadi lebih baik untuk bersaing dengan kelab yang hebat.

Sebagai contoh membimbing pasukan EFL League Two iaitu Sutton United dan anda menjadi hero buat pasukan dengan membawa naik kelab tersebut ke liga yang lebih tinggi sehingga ke Liga Perdana Inggeris.

Selain daripada masalah kewangan, kelab seperti ini akan mengambil masa yang agak lama untuk berjaya, melainkan anda merupakan pakar taktikal yang mampu menyesuaikan keupayaan pemain dengan taktikal anda.

Tanpa pemain nama besar dalam pasukan, pengurus jenis ini memang mempunyai tahap kesabaran yang sangat mantap.

4) Hanya gunakan kelab besar sahaja

Pengurus seperti ini pula pastinya tidak mahu memeningkan kepala dengan masalah kewangan untuk merekrut pemain baharu kerana sudah mempunyai kewangan yang kukuh.

Kelab besar dan kaya pula mempunyai fasiliti terbaik serta mampu menarik kehadiran pemain bintang ke dalam pasukan.

Pengurus jenis ini juga mahu menikmati cabaran besar di Eropah bagi membawa kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah buat kelab dibimbingnya sejak musim pertama membimbing kelab.

5) Kawal satu kelab dan tambah satu lagi kelab untuk ‘penipuan pembelian’

Pengurus jenis ini mempunyai agenda terancang yang cukup jelas untuk menggunakan jalan pintas bagi menambah sumber kewangan pasukannya dengan cukup mudah.

Sebagai contoh, sekiranya anda sedang menjadi pengurus Wolverhampton Wanderers dan kemudiannya boleh menambah untuk menjadi pengurus Manchester City.

Dengan dua pasukan yang dikendalikan, anda boleh mengeksploitasi kekayaan The Cityzens untuk membeli seorang pemain Wolves seperti Pablo Sarabia dengan harga tidak masuk akal lalu memuktamadkan perpindahan tersebut.

Selepas perpindahan itu berjaya, anda meletakkan jawatan sebagai pengurus Manchester City dan mencari pasukan kaya yang lain pula.

Mudah bukan untuk mendapat ‘duit lebih’ buat pasukan anda ?

6) Pengurus yang setia

Ada pengurus yang cenderung untuk membawa satu-satu pasukan dalam tempoh yang agak lama.

Pujian harus diberikan kepada pengurus tersebut diatas kesetiaannya dapat kekal bertahan dengan agak lama bersama satu kelab dibimbingnya.

Bukan mudah untuk kekal terlalu lama kerana permainan ini kadangkala memerlukan cabaran baru bersama kelab baru.

Sekiranya anda golongan pengurus seperti ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan anda adalah seorang pengurus yang hebat.

7) Pengurus yang mahukan cabaran berlainan

Pengurus jenis ini tidak berhajat untuk kekal lama dalam satu-satu pasukan.

Selepas mengecapi beberapa kejayaan atau pengalaman bersama kelab diwakili mereka akan mencari haluan baru dengan meletakkan jawatan dan memohon jawatan di kelab lain.

Pengurus dengan kaedah begini boleh digelar sebagai ‘journeyman’ dalam usaha untuk menyahut cabaran di kelab baru yang mahukan khidmat mereka.