Dunia media sosial tiba-tiba kecoh baru-baru ini. Bayangkan sedang selesa menatal skrin TikTok, tiba-tiba pencipta kandungan kegemaran anda hilang dari radar.

Inilah situasi yang sedang melanda seorang pempengaruh popular dari Malaysia yang dikenali sebagai isawkwardguy.

Jika anda sering mengikuti perkembangannya, pasti anda sudah lali dengan gaya penyampaiannya yang cukup sinis dan tajam, terutamanya apabila dia mula mengupas isu-isu semasa yang melibatkan negara-negara serantau. Namun, sesuatu yang pelik sedang berlaku sekarang.

Rungutan pengikut dari seberang

Kenapa Akaun TikTok Influencer Malaysia Ini Tiba-Tiba Kena Sekat Di 3 Negara Jiran?
Sumber Gambar: Threads

Suasana menjadi hangat di pelbagai platform seperti X dan Threads apabila ramai pengikut dari negara jiran mula bersuara.

Mereka berasa hairan kerana video-video dari isawkwardguy tidak lagi menjengah ke ruang For You Page atau FYP mereka sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Pada awalnya, ramai yang menyangka ia hanyalah masalah algoritma biasa yang sering dialami oleh pengguna aplikasi tersebut.

“Eh betul pun, aku kat Indonesia cannot view his Tiktok Account, what the fuck ndut?” luah seorang pengguna dari Indonesia di laman X, jelas kebingungan dengan ketiadaan video dari pempengaruh tersebut.

Apabila mereka cuba mencari nama profil isawkwardguy secara manual, alangkah terkejutnya mereka apabila skrin hanya memaparkan tulisan ‘No videos yet’.

Kenapa Akaun TikTok Influencer Malaysia Ini Tiba-Tiba Kena Sekat Di 3 Negara Jiran?
Sumber Gambar: Threads

Akaunnya masih wujud dan profilnya masih boleh diakses, tetapi seluruh kandungan videonya ghaib begitu sahaja, seolah-olah sengaja disekat daripada tontonan mereka.

Sekatan geografi yang menjadi tanda tanya

Berdasarkan perbualan dan perkongsian tangkap layar oleh warga maya, jelas menunjukkan masalah ini bukan sahaja terhad di Indonesia. Rakan-rakan penonton di Singapura dan Brunei turut menghadapi nasib yang sama.

Malah, perbincangan di aplikasi Threads mendedahkan desas-desus bahawa sekatan ini mungkin turut melibatkan penonton dari kawasan sejauh Eropah dan Australia.

Padak ketika ini, akaun TikTok yang memiliki lebih 570,000 pengikut dan 48.5 juta tanda suka itu kini dikenakan sekatan geografi. Secara mudahnya, didakwa hanya pengguna di dalam Malaysia sahaja yang masih boleh menikmati kandungan videonya.

“Biar betul, adakah akaun ini benar-benar disekat oleh kerajaan mereka kerana konten dia yang cuba menyatukan orang ramai dengan program ekonomi?” soal seorang pengguna di ruangan komen Threads, cuba merungkai misteri di sebalik sekatan ini.

Terdapat juga pengguna lain yang membalas dan mengesahkan bahawa akaun tersebut sememangnya disekat secara geo-block apabila cuba diakses dari luar negara.

Penangan konten sinis dan tajam

Bagi mereka yang mungkin baru mengenali isawkwardguy, pempengaruh ini cukup sinonim dengan video ulasan kritikal yang kemas dibalut dengan elemen komedi sarkastik.

Kadangkala ulasannya mengenai dasar sesebuah kerajaan atau respons sinis terhadap realiti semasa di negara jiran mengundang pelbagai reaksi.

Ada pihak yang menyokong kuat kerana merasakan dia berkongsi pandangan yang rasional, namun tidak kurang juga yang mungkin berasa kurang senang dengan kelantangan dan komen pedasnya.

Adakah kelantangan ini yang menjadi punca utama videonya kini dihalang daripada tatapan penonton antarabangsa?

Setakat hari ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan TikTok mahupun penerangan lanjut daripada isawkwardguy sendiri berhubung punca sebenar isu sekatan ini.

Beralih ke platform lain sebagai alternatif

Walaupun platform TikTok nampaknya sudah mula meletakkan sempadan maya, peminat-peminat dari negara jiran bukanlah jenis yang mudah mengalah. Mereka mula berkongsi panduan dan tips sesama sendiri untuk terus menyokong dan mengikuti celoteh pempengaruh ini.

“Yang tak boleh buka TikTok dia, cuba pergi Instagram, aku selalu tonton dia di Reels,” cadang seorang peminat setia, memberikan jalan penyelesaian kepada rakan-rakan maya yang merindui videonya.

Situasi ini sebenarnya membuktikan betapa besarnya pengaruh seorang pencipta kandungan pada zaman digital ini. Hanya dengan berbekalkan pandangan yang tajam dan cara penyampaian yang kreatif, seseorang itu mampu memberi impak yang merentasi sempadan negara.

Sama ada sekatan geografi ini bersifat sementara atau kekal, peminat tegarnya pasti akan sentiasa mencari jalan untuk terus menyokong isawkwardguy di platform alternatif yang lain.