Laporan dokumentari berdurasi 22 minit daripada CNA Insider yang bertajuk Why Are So Many Foreigners Moving To Malaysia? What Does It Mean For Malaysians? meraih hampir dua juta tontonan dalam masa beberapa hari sahaja.
Dokumen tersebut melihat bagaimana kehadiran warga asing mengubah perniagaan tempatan, kadar sewaan, hingga ke isu pekerja dan pelarian.
Lembah Klang Jadi Tumpuan Perniagaan Luar

Kemasukan perniagaan dari China dan Korea Selatan semakin ketara di sekitar Lembah Klang. Di Sunway Velocity, Cheras, kawasan yang dikenali sebagai Nanjing Street dipenuhi restoran, salon kecantikan, dan pelbagai perkhidmatan dari China.
Begitu juga di Solaris Mont Kiara yang kini popular sebagai Little Korea dengan rangkaian pasar raya serta premis makanan tersendiri.
Dilema Pengguna Dan Persaingan Peniaga Tempat
Bagi sesetengah pengguna tempatan, tawaran harga yang lebih kompetitif dan waktu operasi yang panjang menjadi tarikan. Namun, situasi ini menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga tempatan.

Presiden Persatuan Pandandan Rambut Malaysia (MHA), Ann Wang, memberitahu bahawa sesetengah pemilik perniagaan dari China sanggup bekerja dalam waktu yang sangat panjang serta menawarkan harga yang sukar ditandingi oleh pengusaha tempatan.
Impak Kepada Ekonomi PKS Dan Kadar Sewa Premis

Isu ini bukan sekadar persaingan perniagaan biasa. Presiden Persatuan Perusahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), William Ng, menjelaskan bahawa perniagaan asing yang membawa masuk modal, tenaga kerja, peralatan, dan rantai bekalan sendiri berisiko mengehadkan pengaliran wang dalam kitaran ekonomi tempatan.
Selain itu, permintaan tinggi terhadap ruang komersial turut mendesak kadar sewaan naik.
Seorang pemilik salon tempatan berkongsi pengalaman melihat pemilik bangunan menaikkan sewa premis secara mendadak selepas peniaga asing sanggup membayar harga lebih tinggi untuk lokasi strategik.
Realiti Kehidupan Dan Status Pelarian

Laporan tersebut turut beralih kepada kelompok warga asing yang berbeza, iaitu pelarian. Malaysia kini menampung lebih 180,000 pelarian yang berdaftar dengan UNHCR, di mana majoritinya berasal dari Myanmar.
Memandangkan Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, kelompok ini tidak mempunyai status undang-undang rasmi atau kebenaran bekerja secara sah.
Seorang pelarian Rohingya yang berdaftar dengan UNHCR, Aman Hossein, mendedahkan realiti kehidupan harian mereka yang bergantung kepada pekerjaan tidak tetap.
“Sebenarnya memang tak mudah. Apa sahaja kerja tetap yang kerajaan mahu berikan dalam mana-mana sektor, saya sedia buat,” katanya.
Cadangan Kebenaran Bekerja Dan Pendirian Kerajaan
Wakil UNHCR, Louise Aubin, berpendapat bahawa memberi akses kerja secara sah kepada pelarian membolehkan mereka menyumbang kepada ekonomi, membayar cukai, sekali gus membantu mengisi kekurangan tenaga kerja tempatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan bahawa fokus utama kerajaan kekal pada keselamatan negara dan penguatkuasaan terhadap pemegang status tanpa izin.
Pada masa yang sama, kerajaan terus meneliti dasar menyeluruh merangkumi isu pekerja asing dan aspek kemanusiaan.
Keseimbangan Antara Pelaburan Dan Kelangsungan Tempatan
Elemen utama laporan ini menunjukkan bahawa kehadiran warga asing di Malaysia mempunyai implikasi yang kompleks. Peningkatan pelaburan dan persaingan perniagaan boleh memberi manfaat kepada pengguna dan pemilik hartanah, tetapi mewujudkan tekanan besar kepada PKS tempatan.
Fenomena ini mengajak masyarakat berfikir tentang keseimbangan antara pelaburan luar, kelangsungan peniaga tempatan, dan pengurusan tenaga kerja negara.
Boleh tonton video penuh di bawah ini:-