Pemilik kenderaan yang mempunyai saman trafik atau kes mahkamah yang tertunggak bakal berdepan sekatan perjalanan rentas sempadan.

Tindakan tegas ini adalah sebahagian daripada pelan penguatkuasaan menerusi pindaan baharu Akta Pengangkutan Jalan, peitk Malaysia Gazette.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa melalui pelaksanaan undang-undang baharu ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), anggota penguat kuasa JPJ, serta pegawai polis akan diberi kuasa rasmi untuk menghalang mana-mana kenderaan berdaftar Malaysia mahupun asing daripada memasuki atau meninggalkan negara.

“Fasal berkaitan seksyen baharu 119C memperluaskan prinsip yang sama kepada kenderaan motor berdaftar Malaysia yang melakukan perjalanan rentas sempadan.

“Ia bertujuan bagi memastikan pemilik kenderaan menyelesaikan saman dan kes tertunggak terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan rentas sempadan, melibatkan saman trafik, kes mahkamah serta pelbagai pelanggaran undang-undang berkaitan pengangkutan jalan,” jelas beliau ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Anthony, pindaan strategik ini juga digubal bagi membanteras sindiket penyalahgunaan kenderaan klon, isu kenderaan curi, serta usaha proaktif kementerian untuk meningkatkan kadar penyelesaian saman yang lama tertunggak dalam kalangan pengguna jalan raya.