CIMB Malaysia menzahirkan rasa dukacita yang mendalam berhubung insiden kemalangan maut yang berlaku di Jalan Kuching, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di platform X.com, pihak pengurusan CIMB menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi berkenaan.

“Kami amat berduka cita atas insiden tragis yang berlaku serta kehilangan nyawa dalam kejadian ini. Ingatan dan simpati yang mendalam kami tujukan kepada keluarga serta insan tersayang yang terkesan dalam masa yang amat sukar ini,” kata CIMB Malaysia dalam kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak bank menegaskan komitmen mereka untuk menghormati dan menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa.

“CIMB menghormati proses perundangan dan akan terus memantau perkembangan situasi ini secara rapat. Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya perlu,” tambah kenyataan itu.