Proton telah mengeluarkan kenyataan rasmi susulan insiden kebakaran yang berlaku di kemudahan pengedar badan dan cat (B&P) Proton di Sungai Buloh.

Memetik portal Paultan.org, setakat ini tiada petunjuk menunjukkan kebakaran berlaku berpunca daripada produk.

“Pada kira-kira jam 5 petang, Rabu, 7 Januari 2026, satu kebakaran telah tercetus di Proton Salient Progress (B&P) yang terletak di Lot 906 & 907, Kampung Baru Sungai Buloh, 40160 Shah Alam, Selangor. Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) telah dihubungi segera dan berjaya mengawal kebakaran menjelang jam 8:00 malam.

“Punca dan tahap kerosakan akibat insiden tersebut kini sedang dalam siasatan. Setakat ini, tiada sebarang indikasi bahawa kejadian tersebut berpunca daripada sebarang isu berkaitan produk. Apa yang penting, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

“Insiden ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa yang berkaitan, dan pihak pengedar bekerjasama rapat dengan mereka sepanjang proses tersebut. Proton akan menyokong pengedar dalam menangani urusan berkaitan pelanggan, dan pelanggan yang terjejas akan dihubungi dengan segera.

“Bilik pameran Salient Progress Kepong 4S yang terletak di No. 246, Batu 6 1/2, Jln Besar Kepong, 52000 Kuala Lumpur tidak terjejas dan meneruskan operasi harian seperti biasa,” jelas Proton.

Terdahulu, sebanyak 51 buah kenderaan dilaporkan musnah dalam insiden kebakaran.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran membabitkan bangunan kelas B berkeluasan kira-kira 200 x 200 kaki persegi.

“Kerja-kerja pemadaman dijalankan dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.28 petang,” jelas beliau.