Baru-baru ini, kepala patung Firaun Tutankhamun yang berusia 3,000 tahun telah dilelong dengan harga $6 juta (~RM20 juta). Patung tersebut dikhabarkan tetap dilelong walaupun kerajaan Mesir menuntut artifak tersebut dipulangkan.
Patung tersebut memiliki perincian yang sangat unik dan diperbuat daripada batu kuarzit coklat kini sedang dipamerkan di rumah lelong Christie di London.
Menurut Setiausaha Agung Majlis Tinggi Barang Purba Mesir, Mostafa Waziri berkata, beliau kecewa lelongan itu diteruskan walaupun pihak kerajaan Mesir telah mencuba menghalang perkara tersebut berlaku.
Malah, artifak itu dipercayai telah dicuri dari Mesir secara haram oleh individu tidak bertanggungjawab. Menurut Mostafa, firma Christie turut gagal menunjukkan dokumen rasmi kepala patung berkenaan menguatkan lagi dakwaan beliau bahawa artifak tersebut dibawa keluar secara haram dari Mesir.
Selain itu, bekas Menteri Barang Antik, Zahi Hawass juga mendakwa patung berkenaan dicuri dari Kompleks Kuil Karnak pada tahun 1970-an. Pastinya ini merupakan satu kehilangan yang besar kepada kerajaan Mesir apabila artifak yang menyimpan sejarah negara Mesir jatuh ke tangan orang asing. Mesir rugi, ‘perompak’ yang untung.