Duane “Keffe D” Davis, bekas ahli kumpulan gengster Los Angeles, telah didapati bersalah oleh mahkamah di Las Vegas pada Isnin atas pertuduhan membunuh penyanyi rap terkenal, Tupac Shakur atau 2Pac, pada tahun 1996.
Hampir tiga dekad selepas kematian legenda hip-hop berkenaan, juri pertuduhan mendapati Davis, 63, bersalah atas pertuduhan membunuh selepas beberapa jam bersidang untuk membuat keputusan, petik AFP.
“Pertuduhan pertama, pembunuhan dengan penggunaan senjata berbahaya, bersalah atas pembunuhan tingkat pertama (first-degree murder) dengan penggunaan senjata berbahaya,” kata ketua juri semasa membacakan keputusan di mahkamah.
Davis, yang berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol, berucap di hadapan Hakim Carli Kierny selepas keputusan diumumkan dan menyatakan hasratnya untuk mengemukakan rayuan.
Bekas pemimpin kumpulan South Side Compton Crips itu dituduh merancang pembunuhan penyanyi berkenaan pada 7 September 1996 selepas anak saudaranya dipukul oleh kumpulan pengiring Tupac Shakur di sebuah kasino di Las Vegas.
“Dalam budaya kumpulan gengster, Duane Davis tidak boleh membiarkan perkara sedemikian berlaku,” kata pendakwa raya Binu Palal semasa hujah penutupnya.
“Oleh itu, apa yang dilakukannya? Dia mendapatkan senjata api, mengumpulkan kumpulannya, dan mula memburu Encik Shakur.”
Tupac Shakur, yang berada di Las Vegas untuk menyaksikan perlawanan tinju kategori heavyweight Mike Tyson, telah ditembak kira-kira dua jam selepas insiden di kasino berkenaan.
Tembakan dilepaskan oleh seorang penembak yang menaiki kenderaan jenis Cadillac berwarna putih yang berhenti di lampu isyarat merah, bertentangan dengan kenderaan jenis BMW yang dinaiki Tupac Shakur di tempat duduk penumpang hadapan.
Memetik laporan lagi, pihak pendakwa raya berkata Davis menyerahkan senjata api tersebut kepada individu yang duduk di tempat duduk belakang Cadillac dan mengarahkan individu berkenaan melepaskan tembakan ke arah Tupac Shakur. Beliau dilaporkan meninggal dunia enam hari kemudian.
Davis merupakan satu-satunya individu yang berada di dalam kenderaan Cadillac pada malam kejadian yang masih hidup.
Pemandu kenderaan BMW berkenaan, yang juga pengasas bersama Death Row Records, Marion “Suge” Knight, turut mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
Kes pembunuhan Tupac Shakur, atau lebih dikenali sebagai 2Pac, merupakan antara kes fail tersimpan (cold case) paling terkenal di Amerika Syarikat, yang mencetuskan perdebatan berpanjangan dalam kalangan peminat muzik mengenai dalang dan motif di sebalik kejadian itu.
Davis, yang memimpin kumpulan Crips—salah satu kumpulan gengster yang menguasai sebahagian kawasan di Los Angeles pada era 1990-an—merupakan satu-satunya individu yang didakwa berhubung kejadian tembakan tersebut.
Tarikh jatuhan hukuman telah ditetapkan pada 13 Oktober.