Prestasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mempamerkan peningkatan yang memberangsangkan apabila pencapaian Gred Purata Kebangsaan (GPK) mencatatkan 4.42, berbanding 4.49 pada tahun sebelumnya.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad memaklumkan bahawa seramai 13,779 orang calon telah berjaya meraih keputusan cemerlang yang merangkumi Gred A+, A, dan A- bagi keseluruhan mata pelajaran yang diduduki, berbanding 13,827 calon pada tahun 2024.

Mengulas lanjut mengenai kualiti pencapaian, beliau menyatakan bahawa bilangan calon yang memperoleh Gred A+ dalam semua mata pelajaran turut mencatatkan lonjakan kepada 376 orang, berbanding 352 orang pada tahun lepas.
Selain itu, pencapaian bagi kategori calon yang mendapat sekurang-kurangnya tahap kepujian (Gred C) dalam semua mata pelajaran turut mempamerkan corak peningkatan yang ketara, iaitu seramai 92,347 calon berbanding 86,040 calon pada edisi 2024.
Malahan, keputusan SPM 2025 juga menjadi pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun. Trend peningkatan prestasi calon SPM didapati mempunyai konsistensi sejak 2021.
Sebagai perbandingan, pada 2024, GPK bagi calon bandar ialah 4.47 berbanding 4.92 di luar bandar dengan jurang 0.45 mata.
“Perkembangan ini menunjukkan peningkatan lebih ketara dalam kalangan calon luar bandar, sekali gus menyumbang kepada pengurangan jurang pencapaian antara kedua-dua kawasan,” tambahnya.