Pada hari ini, bermulalah penebusan kredit eMADANI oleh mereka yang layak di platform terpilih. Walaupun sudah diingatkan kredit hanya untuk tujuan pembayaran tertentu, pasti ada segelintir individu cuba melakukan penebusan tunai dan seumpamanya.

Kementerian Kewangan memberi amaran supaya penerima eMADANI tidak melakukan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.

Baca Juga:

Menurutnya, Kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMADANI.

“Program eMADANI diluncurkan bertujuan untuk menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.

“Oleh itu, kredit eMADANI tidak boleh digunakan antaranya bagi pemindahan ‘peer-to-peer’ (P2P) atau penebusan tunai,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Kewangan menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai atau pemindahan ‘peer-to-peer’ kredit eMADANI oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.

Hal ini bagi mengelakkan penerima manfaat eMADANI daripada menjadi mangsa penipuan ‘scam’ dan sekali gus hilang kredit seperti yang berlaku pada sumbangan-sumbangan sebelum ini.

“MOF tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai,” jelasnya.

Berikut merupakan antara perkara dimana kredit eMADANI tidak boleh digunakan iaitu:-

1. Pemindahan ‘peer-to-peer

2. Penebusan tunai

3. Bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet

4. Bayaran fi berkaitan Kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet

5. Bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-dompet

6. Pembelian permainan (games) terintegrasi dengan aplikasi e-dompet

7. Bayaran tempat letak kereta dan tol

8. Aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet

9. Transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian.

10. Transaksi QR merentas sempadan

eMADANI hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit atau perniagaan di seluruh negara.