Syarikat fesyen e-dagang terkenal, FashionValet (FV), yang pernah menjanjikan kemajuan platform digital untuk jenama tempatan, akhirnya terpaksa akur pada kegagalan setelah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengalami kerugian besar akibat pelaburan mereka.
Dalam pendedahan di Dewan Rakyat dan merujuk laporan Berita Harian, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkongsi tiga sebab utama kenapa FashionValet gagal mencapai apa yang diharapkan orang ramai.
1. COVID-19 & Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Tidak dinafikan bahawa Covid-19 menjadi antara sebab kenapa perniagaan FashionValet gagal.
Syarikat yang mempunyai impian besar untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran dengan memperbanyakkan cawangan kedai fizikal.
Namun, PKP yang dikenakan semasa pandemik COVID-19 menyebabkan operasi kedai-kedai ini terbantut.
Akibatnya, minat pengguna terhadap pakaian premium, termasuk tudung, menurun secara drastik.
Sebilangan besar kedai fizikal FV terpaksa ditutup, membawa kepada kerugian besar dalam aliran tunai syarikat.
2. Persaingan E-Dagang
Platform fesyen tempatan seperti jenama-jenama fesyen sopan mula mengambil alih pasaran dengan pelbagai saluran e-dagang tersendiri.
Banyak yang beralih ke platform yang lebih mudah diakses seperti Facebook dan laman e-dagang tersendiri, meninggalkan FashionValet untuk bersaing dalam suasana yang tidak lagi memihak kepadanya.
Akhirnya, FashionValet memilih untuk menutup platformnya dan fokus kepada dua jenama dalaman mereka, iaitu dUCk dan LILIT.
3. Cabaran Pengumpulan Dana
Dengan masalah aliran tunai, FashionValet menghadapi cabaran besar untuk mengumpulkan dana tambahan.
Pemegang saham utama, termasuk Khazanah dan PNB, enggan menambah pelaburan, menganggap risiko yang terlalu tinggi.
Malah, usaha untuk menarik pelabur baharu juga menemui jalan buntu.
Ini menyebabkan situasi kewangan FashionValet semakin merosot.
Datuk Seri Amir Hamzah juga menjelaskan bahawa Khazanah dan PNB, meskipun hanya pemegang saham minoriti, turut memainkan peranan aktif dalam memberi nasihat strategi kewangan kepada FashionValet.
Namun, walau dengan sokongan tersebut, keadaan syarikat dilihat terlalu parah untuk dipulihkan tanpa suntikan modal baharu.