Kementerian Kewangan (MoF) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa jujur semasa memohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Jika didapati pemohon memberikan maklumat palsu atau tidak tepat, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk menarik balik bantuan tersebut serta-merta.

Jangan ingat permohonan hanya disemak sekali sahaja. MoF melakukan semakan berkala setiap tiga bulan (suku tahun) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan. Antara perkara yang disemak termasuklah:-

Rekod pemilikan rumah dan kenderaan

Pemilikan perniagaan

Status pekerjaan

Rekod sama ada pemohon menetap di luar negara atau tidak

Sekiranya didapati memberikan maklumat palsu, bukan sahaja bantuan ditarik balik, malah pemohon juga boleh berdepan dengan tindakan undang-undang.

Peruntukan Terbesar Dalam Sejarah: RM15 Bilion

Tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 bilion untuk program STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Ini adalah jumlah bantuan paling tinggi pernah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan setakat ini menurut laporan Berita Harian.

Apa perbezaan STR dan SARA?

SARA (Sumbangan Asas Rahmah): Bantuan bulanan untuk barang asas yang diberikan kepada 8 juta individu (termasuk golongan miskin tegar).

STR (Sumbangan Tunai Rahmah): Bantuan tunai setiap tiga bulan untuk isi rumah dan warga emas (tiada pasangan) yang berpendapatan RM5,000 ke bawah.

Berita Baik: Bayaran Fasa 1 Bermula Selasa Depan

Bagi pusingan pertama tahun ini, sebanyak RM1.1 bilion akan mula disalurkan kepada penerima yang layak bermula Selasa depan.

Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk membantu rakyat menguruskan kos sara hidup dengan lebih teratur, terutamanya ketika musim perayaan atau waktu keperluan memuncak.