Kerajaan mengarahkan semua penjawat awam di Malaysia menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze serta-merta atas faktor keselamatan siber dan perlindungan data pergerakan rakyat.

Arahan itu diputuskan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Selasa – menurut Laporan Berita Harian.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan perlu memastikan arahan berkenaan disampaikan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk agensi berkaitan, untuk pelaksanaan segera.

Menurut beliau, sebarang pertanyaan mengenai pelaksanaan arahan itu boleh dirujuk kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Langkah berkenaan susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna yang menggunakan Waze, aplikasi navigasi yang menurut kerajaan tertakluk kepada undang-undang Isr*el.

Sebelum ini, Anwar menggalakkan orang ramai beralih kepada TuJu, aplikasi navigasi tempatan yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif untuk panduan perjalanan di jalan raya.

Kerajaan berpandangan penggunaan alternatif tempatan penting bagi mengurangkan risiko keselamatan maklumat, selain memastikan pendigitalan negara tidak mengabaikan aspek keselamatan dan kedaulatan.

Dalam mesyuarat sama, JKSN turut membincangkan pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum menerusi kriptografi pasca-kuantum serta ancaman baharu berkaitan kecerdasan buatan autonomi.

Perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian.