Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal selia dan memperkukuh sistem MyDigital ID sebagai usaha menangani keraguan orang ramai terhadap inisiatif tersebut, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, model pendaftaran secara sukarela yang digunapakai ketika ini menjadi satu kekangan yang sedang diteliti oleh kerajaan, petik Free Malaysia Today.
“Buat masa ini, kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk merangka satu Akta khusus bagi MyDigital ID, yang mungkin akan menjadikannya satu kewajipan untuk semua rakyat mendaftar,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ronald Kiandee (PN–Beluran) yang membangkitkan isu keyakinan rakyat terhadap pelaksanaan inisiatif itu.
Ronald merujuk kepada gangguan sistem autogate di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor baru-baru ini, yang dikaitkan dengan isu integrasi sistem, sebagai contoh perkara yang boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai.
“Tiga hari lalu, kita dimaklumkan tentang gangguan sistem autogate di CIQ Johor, yang dikatakan berpunca daripada masalah integrasi sistem.
“Sebenarnya, ini adalah kebimbangan yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap inisiatif ini. Terdapat kebimbangan tentang privasi dan keselamatan, kebolehpercayaan infrastruktur digital serta agensi pelaksana, dan juga risiko penyalahgunaan data,” katanya.
Ronald turut memaklumkan bahawa hanya 2.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk MyDigital ID setakat suku kedua tahun 2025 – jauh lebih rendah berbanding jumlah pendaftaran untuk inisiatif lain seperti PADU dan BUDI.
Kerajaan tidak simpan data peribadi pengguna
MyDigital ID ialah satu inisiatif pengenalan digital nasional yang dibangunkan sejak 2016, bertujuan menyediakan kaedah pengesahan identiti yang selamat dan sah untuk urusan secara dalam talian.
Sistem ini direka untuk digunakan di sektor awam dan swasta bagi tujuan pengesahan identiti pengguna ketika melakukan transaksi digital.
Dr Zaliha turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak menyimpan data peribadi pengguna, dan sistem MyDigital ID menggunakan teknologi biometrik serta kriptografi bagi menjamin keselamatan serta mencegah pencerobohan data.
Beliau menambah, kerajaan kini sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan kadar penggunaan platform tersebut.
“Kita sedang galakkan kerjasama dengan semua pihak, termasuk sektor swasta,” katanya.
Terdahulu, Dr Zaliha memaklumkan bahawa bilangan sistem kerajaan dan bukan kerajaan yang telah diintegrasikan dengan MyDigital ID telah meningkat hampir dua kali ganda kepada 82 sistem sejak Mac lalu.
Beliau berkata, platform ini akan terus diperluas penggunaannya ke sektor awam dan swasta, termasuk dalam industri kewangan, di mana enam buah bank telah menyelesaikan ujian kotak pasir (sandbox testing) bersama Bank Negara Malaysia.