Kerajaan sedang memantau rapi perkembangan di Amerika Syarikat (AS) selepas tarif import Presiden Donald Trump dibatalkan oleh Mahkamah Agung, semalam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Ghani berkata, walaupun Malaysia telah menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik dengan AS pada tahun lalu, Putrajaya masih belum meratifikasi (mengesahkan) perjanjian tersebut, petik Free Malaysia Today.
Baca Juga:
- Malaysia Akan Jadi ‘Abang Besar’ Wakil ASEAN Respon Perang Tarif Trump

- Ancaman Besar Trump, Tarif 100% Gemparkan Industri Semikonduktor Malaysia

- Donald Trump Kenakan Tarif Import 19 Peratus Ke Atas Malaysia
“Kerajaan sedang menilai dengan teliti perkembangan undang-undang dan dasar terkini di Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Johari menegaskan bahawa Washington masih mempunyai mekanisme perundangan lain yang membolehkannya mengenakan tarif unilateral, selain langkah-langkah perdagangan yang lain.
Beliau berkata MITI juga sedang meneliti pengumuman Trump mengenai tarif 10% ke atas semua barangan import susulan keputusan Mahkamah Agung AS tersebut.
“Kami sedang mengkaji skop dan implikasinya. Pada peringkat ini, kami sedang menantikan penjelasan lanjut mengenai bagaimana langkah-langkah ini akan dilaksanakan dan sama ada pelarasan tambahan akan menyusul,” katanya.
Menteri itu berkata AS kekal antara ekonomi terbesar di peringkat global dan rakan dagang utama bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM367 bilion pada tahun lalu, termasuk eksport ke AS bernilai RM233 bilion.
“Pendirian Malaysia adalah jelas dan konsisten. Kami akan terus komited terhadap perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan (rules-based), bagi mengekalkan persekitaran perniagaan yang stabil dan boleh diramal, serta untuk melindungi kepentingan pengeksport Malaysia, pelabur antarabangsa, perniagaan yang beroperasi di Malaysia, dan pekerja di seluruh ekonomi kita.
“Pada masa yang sama, Malaysia akan terus mempelbagaikan hubungan perdagangannya dan memperkukuh kerjasama ekonomi serantau serta pelbagai hala (multilateral) bagi memastikan daya tahan dalam persekitaran perdagangan global yang sentiasa berubah.
“Kami akan bertindak demi kepentingan terbaik Malaysia sambil memelihara hubungan dua hala yang kukuh dengan AS,” kata Johari.