Kerajaan Negeri Perak mengumumkan berita gembira dalam memperluaskan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada guru KAFA dan guru takmir yang berkhidmat di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).
Pengumuman terbaharu itu dibuat Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan menerusi laman Facebook rasmi beliau, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Penjawat Awam Perak Bakal Terima Bonus Raya RM1,500
- Menteri Besar Umum Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Kepada Penjawat Awam Negeri Pahang
- Ini Sebab Mengapa Penjawat Awam Tidak Terima Bonus Aidilfitri Ini
Menurut kenyataan tersebut, pemberian BKK sebanyak RM500 ini akan melibatkan seramai 3,495 penerima, terdiri daripada 3,117 guru KAFA dan 378 guru takmir.
Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memberi perhatian kepada golongan pendidik agama yang sentiasa berusaha mendidik dan membimbing anak-anak dalam mendalami ilmu agama Islam.
Difahamkan, pemberian ini akan melibatkan implikasi kewangan negeri yang mencecah RM1.75 juta dan bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun penerima bermula pada Jumaat ini.
Dua Pengumuman Bonus Raya Daripada Kerajaan Negeri Perak
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Perak juga telah mengumumkan pemberian BKK Aidilfitri sebanyak RM1,500 kepada 13,582 penjawat awam negeri, termasuk guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ), ketua kampung serta kakitangan di bawah kontrak MySTEP.
Inisiatif tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Perak terus komited untuk memberi sokongan kepada penjawat awam negeri serta golongan yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Perak berharap agar segala usaha dan pengorbanan golongan pendidik serta penjawat awam dapat dihargai, serta memberikan sedikit kelegaan kepada mereka menjelang perayaan Aidilfitri.