Bukan mudah untuk menepis huluran wang ringgit apabila diuji dengan sogokan, lebih-lebih lagi di tempat kerja.

Namun, keteguhan prinsip dan keberanian 652 penjawat awam ini membuktikan bahawa integriti masih berdiri kukuh dalam sektor perkhidmatan awam Malaysia.

Atas keberanian itu, kerajaan menyalurkan ganjaran bernilai RM1.18 juta sebagai pengiktirafan sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.

Inisiatif pengiktirafan ini merupakan kesinambungan daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan pada 19 Ogos 2010 serta Surat Pekeliling Garis Panduan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011.

Daripada jumlah keseluruhan penerima tersebut, seramai 529 individu diperaku menerima ganjaran wang tunai berserta sijil, manakala 123 individu lagi dianugerahkan sijil penghargaan.

PDRM Catat Penerima Terbanyak

Menurut laporan Berita harian, berdasarkan rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), empat agensi utama mencatatkan bilangan penerima tertinggi sepanjang tempoh berkenaan.

Polis Diraja Malaysia mendahului senarai dengan 437 orang penerima, diikuti Jabatan Imigresen Malaysia seramai 64 orang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia seramai 33 orang, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup seramai 21 orang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, menegaskan bahawa pengiktirafan ini bukan sekadar ganjaran fizikal, sebaliknya satu suntikan semangat buat seluruh warga kerja perkhidmatan awam.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam, tetapi juga menjadi satu dorongan dan contoh kepada penjawat awam yang lain,” kata beliau sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 15 Bil 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM.

Penilaian Siri 2026 Tampilkan 54 Calon Baharu

Memasuki siri penilaian bagi tahun 2026, pihak sekretariat mengemukakan seramai 54 calon penjawat awam daripada empat agensi penguatkuasaan.

Penilaian siri ini membabitkan 30 kertas siasatan dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.

Senarai pencalonan terkini ini merangkumi 38 calon daripada PDRM, 12 calon daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, tiga calon daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, serta seorang calon daripada Jabatan Imigresen.

Kesemua calon perlu melepasi proses tapisan keutuhan SPRM dan semakan rekod jenayah PDRM bagi memastikan mereka memenuhi kelayakan yang ditetapkan.

Mengenai syarat pencalonan, Abd Halim menjelaskan bahawa pegawai perlu membuat aduan rasmi dan memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat SPRM sehingga perbicaraan kes di mahkamah selesai.

“Inisiatif pemberian ganjaran ini diperluaskan bukan sahaja terhad kepada agensi penguatkuasaan, malah kepada seluruh sektor perkhidmatan awam, khususnya pegawai di bahagian perolehan supaya tampil berani menyalurkan maklumat bagi membendung kegiatan rasuah,” tambah beliau.

Keberanian penjawat awam untuk bertindak telus ini menjadi benteng utama dalam memperkukuhkan budaya integriti dan memastikan khazanah negara sentiasa terpelihara.