Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan 1 September 2026 sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Pengumuman tersebut dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika Majlis Penutupan SUKMA XXII Selangor 2026 di Aneka Walk, Shah Alam, malam ini.
Kontinjen Selangor yang menggunakan slogan Merah Kuning menamatkan saingan dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, menjadikan keseluruhan 245 pingat.
Pencapaian itu menyaksikan Selangor bukan sahaja bergelar juara keseluruhan, malah berjaya melepasi sasaran awal 80 pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.
Selangor meninggalkan Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan 51 emas, manakala Terengganu menduduki tempat ketiga dengan 43 emas.
Sebelum ini, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mempertimbangkan pemberian cuti peristiwa sekiranya Selangor muncul juara keseluruhan.
Keputusan rasmi hanya akan dibuat selepas kedudukan pungutan pingat dimuktamadkan.
Pengumuman malam ini sekali gus mengesahkan 1 September sebagai cuti peristiwa khas buat seluruh Selangor sebagai penghargaan terhadap kejayaan atlet, pegawai, sukarelawan serta sokongan rakyat negeri itu sepanjang SUKMA 2026.
SUKMA XXII berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan.