Difahamkan sebanyak 9.1 juta vaksin Covid-19 daripada pelbagai jenama terpaksa dilupuskan ekoran telah tamat tempoh.

Memetik Harian Metro, dengan pelupusan berskala besar itu, kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM185 juta setakat 11 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelupusan itu membabitkan beberapa perkara antaranya logistik dan juga penyimpanan stok.

Katanya lagi, sejak program imunisasi Covid-19 bermula pada 24 Februari 2021, kerajaan menerima sebanyak 84.5 juta dos vaksin sama ada melalui perolehan atau sumbangan.

“Atas persoalan berapa kerugian, saya tidak bermaksud negatif terhadap menteri-menteri terdahulu sebelum saya.

“Bagi menteri-menteri terdahulu sebelum saya, mereka tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan dengan itu saya memahami kalau ada kelebihan ia terkait dengan persaingan untuk mendapatkan vaksin itu adalah sangat sengit,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, kerajaan menerima 26 laporan daripada sejuta membabitkan kesan sampingan serius akibat penerimaan vaksin Covid-19 termasuk kemasukan ke dalam wad atau membahayakan nyawa.

“Kami mengakui dan sangat sedar serta ada pemantauan berterusan oleh Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) .

“Setiap satu kematian itu kita akan susuli dengan forensik bagi mengenal pasti terkait sebab musabab akan kes serius itu yang sentiasa diambil tanggungjawab,” katanya.