Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) sebentar tadi telah mengumumkan berita gembira pemberian tol percuma selama dua hari bersempena perayaan Krismas.

Pemberian tol percuma itu akan bermula pada 23 Disember (Sabtu) jam 12.01 pagi hingga 11.59 malam. Hari kedua (Selasa) pula pada 26 Disember bermula 12.01 pagi hingga 11.59 malam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pengumuman rasmi yang boleh dikatakan menggembirakan rakyat yang ingin pulang ke kampung halaman itu dibuat oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang media yang berlangsung sebentar tadi.

“Selaras dengan semangat perpaduan Malaysia Madani, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tol percuma selama DUA hari kepada para pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas yang akan disambut pada 25 Disember 2023.”

“Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui mesyuarat bersama – sama dengan syarikat konsesi juga telah bersetuju dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini pada 23 Disember 2023 (Sabtu) DAN 26 Disember 2023 (Selasa).”

“Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.”

“Pemberian tol percuma ini diharapkan dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.”

“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.”

”Pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya,” kenyataan dikeluarkan laman Facebook rasmi KKR.