Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan terhadap lima pemandu kereta mewah jenis Lamborghini yang memandu secara berbahaya di Lebuh Raya Senai-Desaru, Kota Tinggi, Johor.

Beliau juga menyatakan kelima-lima kereta mewah itu turut telah disita selepas video insiden terbabit tular, petik Berita Harian.

Baca Juga:

“Kita telah membuka satu kertas siasatan atas kes itu dan ia akan dilengkapkan dalam masa terdekat.

“Hasil ujian saringan awal air kencing kesemua pemandu terbabit adalah negatif bahan terlarang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Kamarul Zaman menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan atau undang-undang dan berhemah ketika menggunakan kemudahan awam itu.

“Kita mengalu-alukan kehadiran sesiapa saja yang ingin bercuti dan sebagainya di negeri ini, namun perlulah berdisiplin dan mengikut peraturan.

“Jalan raya dan kenderaan kini ada dashcam, jadi berhati-hatilah. Pengguna jalan raya yang melakukan perkara tidak elok andai dirakam dan ditularkan, ia akan menyebabkan anda diambil tindakan. Oleh itu, berhati-hati,” katanya.

Sehubungan kes itu, DYAM Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyelar tindakan sebahagian ahli konvoi terbabit memandu secara berbahaya.

Sumber