Seorang pemuda berusia 22 tahun yang didakwa atas 23 pertuduhan membunuh 23 penghuni tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah enam tahun lalu, kekal dihukum penjara selama diperkenan Yang-di-Pertuan Agong oleh Mahkamah Rayuan, di sini pada Isnin.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Abu Bakar Jais (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) selepas menolak rayuan lelaki itu selaku perayu pertama untuk dibebaskan daripada kes tersebut, petik Berita Harian.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Turut bersidang ialah Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Che Mohd Ruzima berkata, tiada sebab untuk mengusik keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati perayu bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.

“Dapatan itu adalah selamat dan harus dikekalkan, maka rayuan perayu ditolak. Hukuman yang dijatuhi juga dikekalkan,” katanya.

Mahkamah juga menetapkan supaya seorang lagi lelaki yang berdepan pertuduhan sama, kekal dilepas dan dibebaskan.

Pada 17 Ogos 2020, tertuduh telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi dengan kesalahan membunuh dan diperintahkan supaya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang-di-Pertuan Agong.

Che Mohd Ruzima berkata, tiada sebab untuk mengusik keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mendapati seorang lelaki itu disabitkan kesalahan atas pertuduhan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan mahkamah itu adalah selamat dan harus dikekalkan.

“Mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami (panel hakim) bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa keterangan mengikut keadaan dikemukakan pendakwaan adalah kuat.

“Ia hanya menuding kepada satu arah, iaitu PKK1 (lelaki terbabit yang juga pesalah kanak-kanak satu) memanjat belakang pagar belakang sekolah tahfiz bersama seorang lagi tidak dapat dikenali, untuk memulakan kebakaran sekolah tahfiz sehingga menyebabkan 23 terkorban.

“Dengan itu, rayuan PKK1 ditolak. Memandangkan tiada hujahan dikemukakan pihak pembelaan berhubung hukuman (penjara) dijatuhkan Mahkamah Tinggi, maka hukuman yang dijatuhkan juga dikekalkan,” katanya.

Bagi keputusan seorang lagi lelaki kekal dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan sama pula, Che Mohd Ruzima berkata, tiada sebab untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Keputusan Mahkamah Tinggi untuk melepas dan membebaskan PKK2 (lelaki berkenaan) daripada semua 23 kesalahan di akhir kes pendakwaan, adalah tepat dari segi fakta dan undang-undang.

“Oleh itu, rayuan pendakwa raya adalah tidak bermerit dan seharusnya ditolak. Keputusan Mahkamah Tinggi adalah dikekalkan,” katanya.

Sumber