Pihak berkuasa Singapura sedang memantau peningkatan terkini dalam jumlah kes COVID-19, namun setakat ini tiada petunjuk bahawa varian yang sedang menular di dalam negara adalah lebih mudah berjangkit atau menyebabkan gejala yang lebih teruk berbanding varian sebelum ini.

Pada minggu 27 April hingga 3 Mei, anggaran jumlah kes COVID-19 adalah sebanyak 14,200, meningkat daripada 11,100 kes pada minggu sebelumnya, petik Channel News Asia.

Baca Juga:

Kes Naik Mendadak, Kementerian Kesihatan Singapura Beri Amaran Gelombang Berkala COVID-19 Sepanjang Tahun
Sumber Gambar: University Of Michigan School of Public Health

Bilangan individu yang dimasukkan ke hospital juga meningkat daripada 102 kepada 133, menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada hari Selasa (13 Mei).

Kementerian itu menambah bahawa hospital-hospital di Singapura kini mampu menguruskan peningkatan kes.

Singapura dijangka hadapi gelombang COVID-19 berkala

“Seperti penyakit pernafasan endemik lain, gelombang COVID-19 berkala dijangka berlaku sepanjang tahun,” kata kementerian itu.

Pada masa ini, varian utama COVID-19 yang sedang menular di Singapura adalah LF.7 dan NB.1.8, yang menyumbang lebih daripada dua pertiga daripada kes yang disekuens di dalam negara.
Kedua-dua varian ini merupakan keturunan daripada varian JN.1, yang juga merupakan varian yang digunakan dalam formulasi vaksin COVID-19 semasa.

“Tidak ada petunjuk bahawa varian yang sedang tular di dalam negara lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding varian yang menular sebelum ini,” kata MOH dan CDA.

Kes Naik Mendadak, Kementerian Kesihatan Singapura Beri Amaran Gelombang Berkala COVID-19 Sepanjang Tahun
Sumber Gambar: NCID.sg

MOH dan CDA menasihatkan individu yang berisiko tinggi untuk mengalami COVID-19 yang teruk supaya sentiasa mengemas kini vaksinasi mereka, dengan mengesyorkan agar mereka menerima dos tambahan sekitar setahun selepas dos terakhir mereka.

Individu yang berisiko termasuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas, individu yang terdedah kepada risiko kesihatan, atau penghuni fasiliti penjagaan warga emas.

Memetik laporan itu lagi, pekerja penjagaan kesihatan dan individu yang tinggal atau bekerja dengan individu yang terdedah kepada risiko kesihatan juga digalakkan untuk menerima vaksin.

Sementara individu lain yang berumur enam bulan dan ke atas yang ingin menerima vaksin COVID-19 juga boleh berbuat sedemikian.

Vaksinasi COVID-19 tersedia di klinik pengamal perubatan am Healthier SG dan poliklinik.