603 Kehidupan
November 6, 2023 - 9:29 AM

Indeks jenayah bagi kes bunuh, rogol dan curi kereta di Kelantan mencatatkan peningkatan sepanjang sepuluh bulan tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kes rogol menunjukkan peningkatan sebanyak 31.7 peratus iaitu daripada 82 kepada 108 kes dan kebanyakannya melibatkan mangsa bawah umur, petik laporan Astro Awani.

Baca Juga:

“Kes bunuh pula mencatatkan peningkatan daripada enam kepada sembilan kes pada tahun ini.

“Bagi kes curi kereta, jenayah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 22.7 peratus iaitu daripada 97 kepada 119 kes pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di IPK Kelantan baru-baru ini.

Namun Muhamad Zaki menjelaskan indeks jenayah keseluruhan di Kelantan menurun sebanyak 8.9 peratus iaitu 1,688 kes bermula Januari hingga Oktober lalu berbanding 1,852 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Tambah beliau lagi, pemerhatian khusus akan diberikan kepada kes-kes jenayah seksual yang berlaku di negeri ini kerana banyak melibatkan individu bawah umur dan pelajar sekolah.

Difahamkan pihak polis di kontinjen itu turut akan membincangkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi melancarkan Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah dalam pembentukan adab, akhlak dan integriti pelajar.
“Kami juga ada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada kalangan polis yang memainkan peranan dalam usaha mencegah perlakuan kes jenayah membabitkan pelajar.
“Ada mangsa jenayah seksual yang diambil keterangan, tidak benar-benar tahu akan akibat kesalahan itu dan ini tanggungjawab semua untuk memberikan pemahaman serta pengetahuan supaya mereka menjauhi jenayah ini,” kata beliau.
Sumber