Pada minggu lalu Malaysia digemparkan dengan insiden seorang lelaki melepaskan dua das tembakan di dalam Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Semasa kejadian, seorang anggota Aviation Security (AVSEC) telah bertindak berani cuba menghalang suspek.
Menerusi hantaran Facebook Malaysia Airports, pihaknya memberikan penghargaan kepada Korporal Mohmmad Shafiq Safi’ai.
“Sangat membanggakan! Terima kasih Korporal Mohammad Shafiq Safiāai kerana bertindak berani dan pantas dalam insiden tembakan yang telah berlaku di KLIA baru-baru ini.
“Shafiq yang merupakan seorang anggota Aviation Security (AVSEC) telah memberi amaran keras dengan mengacukan senjata miliknya kepada suspek yang telah melepaskan dua das tembakan.
“Suspek kemudiannya terus melarikan diri dari tempat kejadian. Beliau telah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab demi menjamin keselamatan pengunjung,” petik hantaran Facebook itu.
Pihak Malaysia Airports menyerahkan sumbangan penghargaan sebanyak RM1,000 kepada Mohmmad Shafiq.
Terdahulu seorang lelaki telah ditahan selepas cuba menembak isterinya. Bagaimanapun tembakannya tersasar dan mengenai seorang pengawal peribadi.
Difahamkan pengawal peribadi itu tidak dijadualkan bertugas, bagaimanapun beliau terpaksa menggantikan rakannya yang sedang bercuti beraya.
Suspek berjaya diberkas bersama senjata api di hadapan Hospital Pakar Perdana iaitu beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Demi mempertahankan dirinya, suspek berkata dia memerlukan tujuh orang peguam untuk mewakilinya.
Dia direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. Tempoh remannya berkuat kuasa bermula dari 16 hingga 22 April ini.