Akibat anak kena santau, satu kampung terima akibatnya.

Pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh kumpulan bersenjata Jeremie’s Wharf, yang diketuai oleh Monel ‘Mikano’ Felix di kawasan Cite Soleil, Haiti kawasan kejiranan yang terkenal dengan kemiskinan dan kadar jenayah yang tinggi.

Menurut Sky News, serangan ini mengorbankan sekurang-kurangnya 180 nyawa, dengan kebanyakan mangsa adalah warga emas.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Haiti, tindakan ini melampaui batas dan kerajaan akan mengambil langkah tegas terhadap kumpulan penjenayah ini.

“Semua pasukan akan dikerahkan untuk mengesan dan menghapuskan dalang di sebalik kejadian ini termasuk ketua geng Jeremie Wharf, Monel Felix,” kata kenyataan itu.

Pembunuhan ini dipercayai bermula apabila anak ketua gangster Monel Felix, jatuh sakit akibat kena santau.

Menurut laporan daripada NGO hak asasi manusia di Haiti, Rangkaian Pertahanan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (RNDDH), Felix dikatakan menerima nasihat daripada seorang bomoh, yang menuduh penduduk tempatan di kawasan itu menggunakan santau terhadap anak-anak mereka.

Tragedi itu bertambah buruk apabila anak lelaki Felix dilaporkan meninggal dunia pada petang Sabtu.

“Kami menerima laporan bahawa mangsa termasuk anak muda yang cuba menyelamatkan warga emas telah dibakar selepas dibunuh,” kata wakil RNDDH.

RNDDH melaporkan bahawa ada saksi yang mengatakan bahawa kumpulan ini mencacatkan mayat tersebut sebelum dibakar di jalanan, anak muda pula dibunuh kerana cuba menyelamatkan warga emas.

Cite Soleil, kawasan miskin dan sesak yang terletak berhampiran pelabuhan ibu kota Port-au-Prince, kini telah menjadi tempat pembunuhan.

Kawalan ketat oleh kumpulan bersenjata, termasuk sekatan ke atas penggunaan telefon bimbit, telah menghalang penduduk daripada melaporkan kejadian terbabit.

PBB menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera membantu Haiti dengan menyediakan Misi Sokongan Keselamatan Multinasional, termasuk bantuan kewangan dan logistik untuk mengukuhkan pasukan keselamatan tempatan.

Pembunuhan beramai-ramai ini bukan satu-satunya serangan ganas oleh kumpulan bersenjata di Haiti.

Oktober lalu, kumpulan Gran Grif mengaku bertanggungjawab membunuh lebih 115 orang di Pont-Sonde, kawasan pengeluaran makanan utama Haiti.

Kejadian ini merupakan tindakan membalas dendam terhadap penduduk yang membantu kumpulan lain menghalang operasi kumpulan berkenaan.

Haiti terus menghadapi pelbagai krisis – daripada politik, ekonomi, kepada keselamatan.