Mengatasi segala rintangan mendatang,  Sebastien Migne akhirnya berjaya membawa pasukan ‘underdog’, Haiti mara ke Piala Dunia 2026.

Buat pertama kali sejak tahun 1974, Haiti akan beraksi di pusingan Piala Dunia selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nicaragua.

Baca Juga:

Skuad bimbingan Migne itu menamatkan saingan sebagai juara kumpulan yang turut dibarisi Honduras dan Costa Rica, dua pasukan yang berada lebih tinggi dalam ranking FIFA.

Fakta Menarik Tentang Sebastien Migne dan Haiti

Menarik untuk diperkatakan apabila Migne melakar sejarah hebat tersebut walaupun beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke pulau Caribbean itu sejak dilantik sebagai pengurus 18 bulan lalu.

Hal ini kerana Haiti menjadikan Ergilio Hato Stadium di Curacao sebagai gelanggang tuan rumah buat mereka kerana konflik yang masih berlarutan di negara tersebut.

Keadaan itu memaksa skuad kebangsaan Haiti beraksi sebagai tuan rumah di lokasi sejauh 500 batu dari tanah air mereka sendiri.

Selama bertahun-tahun, negara Carribean itu berdepan ketidakstabilan politik, kemiskinan dan bencana alam termasuklah gempa bumi serta taufan yang memusnahkan.

Dalam pada itu, peningkatan kes keganasan kumpulan bersenjata telah menolak Haiti ke era baharu yang penuh ketidaktentuan dan rasa tidak selamat.

Menurut sumber laporan Sport Bible, akibat daripada situasi di Haiti, Sebastien Migne tidak pernah langsung menjejakkan kaki ke negara tersebut sejak dilantik pada 2024.

“Tidak mungkin kerana terlalu berbahaya. Biasanya saya tinggal di negara tempat saya bekerja tetapi di sini saya tidak boleh.”

“Tiada lagi penerbangan antarabangsa yang mendarat di sana,” ujar Migne.

Sumber